Tatakelola TH diperkukuh, lindungi kepentingan 9.8 juta pendeposit – Akmal Nasrullah

LocalBusiness & Finance
24 Aug 2026 • 4:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tatakelola TH diperkukuh, lindungi kepentingan 9.8 juta pendeposit – Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah berkata, usaha memperkukuh TH selari dengan kerangka Ekonomi Madani dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), 2026-2030.

PUTRAJAYA – Pengukuhan tatakelola Lembaga Tabung Haji (TH) penting bagi memastikan kepentingan lebih 9.8 juta pendeposit terus dilindungi secara mampan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu perlu diberi perhatian mengambil kira skala dan peranan TH sebagai institusi yang mengurus amanah jutaan pendeposit selain mempunyai kedudukan signifikan sebagai pelabur institusi dalam ekonomi domestik.

“Dengan pelaburan melebihi RM96 bilion, tatakelola Tabung Haji mempunyai implikasi yang lebih luas kepada keyakinan terhadap institusi dan pasaran domestik.

“Keutamaan ialah memastikan pengurusan pelaburan, disiplin kewangan dan pengurusan risiko terus diperkukuh supaya kepentingan pendeposit dapat dilindungi secara mampan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau mengulas perkembangan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi berkaitan TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Menurutnya, perkembangan berkenaan perlu dilihat dalam konteks usaha berterusan untuk memperkukuh tatakelola, kebertanggungjawaban dan keyakinan terhadap institusi negara.

Katanya, kerajaan menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan sebarang tindakan berkaitan hendaklah dilaksanakan berlandaskan undang-undang serta diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

“Sehingga awal Ogos 2026, TH memaklumkan bahawa lebih 75 peratus daripada syor RCI telah dilaksanakan, manakala pelaksanaan baki syor penambahbaikan sedang diteruskan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, usaha memperkukuh TH selari dengan kerangka Ekonomi Madani dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), 2026-2030.

Menurutnya, RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ meneruskan aspirasi Ekonomi Madani menerusi usaha menaikkan siling pertumbuhan ekonomi, menaikkan lantai darjat hidup rakyat serta memperkukuh tatakelola baik.

Ujar beliau, pengukuhan institusi semakin penting ketika ekonomi Malaysia sedang mencatat momentum pertumbuhan yang kukuh.

“Ekonomi berkembang sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026, manakala pertumbuhan bagi separuh tahun ini adalah sebanyak 5.7 peratus, berbanding 4.5 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Momentum ini perlu disokong oleh institusi yang berfungsi dengan baik, kepastian dasar dan pelaksanaan pembaharuan secara konsisten bagi mengekalkan keyakinan perniagaan dan pelabur serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Ekonomi akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan RMK13, khususnya bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing, mempercepat pelaburan berkualiti serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan darjat hidup rakyat.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved