Tawar latihan kemahiran, pastikan belia Kuala Selangor ada kerja 

13 Nov 2022 • 4:59 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA SELANGOR, 13 NOV: Calon Pakatan Harapan Parlimen Kuala Selangor menawarkan latihan kemahiran pelbagai bidang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia adalah sebahagian tawaran dalam manifesto khusus bagi memastikan golongan belia mendapatkan pekerja selepas tamat latihan.

“Kemahiran asas ini penting terutama kepada mereka yang tak suka belajar. Bukan semua mahu teruskan pelajaran. Jadi mereka kena didedahkan dengan kemahiran untuk dapatkan kerja dan jawatan.

“Hari ini kita lihat ramai anak muda tidak suka pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kita juga akan fokus ini kerana beri kerugian kepada negara. Kita mahu semai minat terhadap pendidikan STEM ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program bual bicara sempena pengajuran Saturday Night Fest anjuran Kelab Anak Muda Puncak Alam di sini, semalam.

image is not available
Calon Pakatan Harapan Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berbual bersama penduduk Puncak Alam di Saturday Night Fest di Dataran Ecoworld Bandar Puncak Alam pada 12 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Penyandang kerusi itu berkata manifesto yang bakal dilancar dalam masa terdekat turut menekankan aspek pendidikan, gaya hidup serta e-sukan.

Bekas menteri kesihatan bakal ditentang Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dari Barisan Nasional, Mohd Noor Mohd Sahar dari Perikatan Nasional dan Mohd Shaid Rosli (Pejuang).