johardy11/05/2026 - 18:53 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Mei – Penyedia penyelesaian kejuruteraan kuasa, EI Power Berhad (EIP) menerima sambutan memberangsangkan daripada pelabur bagi tawaran awam permulaan (IPO) apabila terlebih langgan sebanyak 30.8 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
EIP menerusi anak syarikatnya terlibat dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (“EPCC”) bagi penyelesaian kuasa tenaga kritikal misi, konvensional dan boleh diperbaharui.
Perkhidmatan Kumpulan merangkumi reka bentuk, pengurusan projek, pembekalan, pemasangan, ujian, pentauliahan serta penyelenggaraan sistem penjana diesel dan pengagihan bahan api, selain sistem solar fotovoltaik (PV) yang menyokong kelangsungan operasi pelanggan tanpa gangguan.
Mengulas mengenai kadar lebihan langganan tersebut, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EIP, Ir. Albert Chang Wan Siong berkata, pihaknya berbesar hati dengan sambutan kukuh terhadap IPO itu yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan dan prospek pertumbuhan syarikat.
“Dana yang diperoleh akan menyokong rancangan pengembangan kami, membolehkan operasi diperluaskan, keupayaan diperkukuh serta meningkatkan posisi dalam memenuhi permintaan penyelesaian kejuruteraan kuasa yang semakin meningkat di pasaran utama,” katanya.
Beliau berkata, asas industri kekal positif disokong peningkatan permintaan perkhidmatan digital serta pembangunan pusat data yang berterusan. Di peringkat tempatan, inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Pelan Digital Johor, bersama peningkatan projek pusat data di Johor, dijangka mempercepatkan pelaburan infrastruktur digital.
“Bagi pengembangan ke Thailand, kami melihat perkembangan memberangsangkan dengan Lembaga Pelaburan Thailand meluluskan 36 projek pusat data melibatkan jumlah pelaburan melebihi 728 bilion Baht Thailand atau RM93.7 bilion, sekali gus menunjukkan sokongan kukuh kerajaan dan peranan Thailand dalam ekosistem digital Asia Tenggara,” katanya.
Sejak 2022, Kumpulan telah melaksanakan 146 projek melibatkan pelanggan dalam sektor pusat data, industri dan komersial di Malaysia. Rekod ini mencerminkan keupayaan teknikal serta kemampuan pelaksanaan projek pelbagai skala. Pada masa sama, buku pesanan belum dibil sebanyak RM99.9 juta setakat 24 Mac 2026 memberi keterlihatan pendapatan sehingga 2027.
Terbitan Awam 129.5 juta saham baharu
IPO ini melibatkan terbitan awam sebanyak 129.5 juta saham baharu biasa pada harga terbitan 48 sen sesaham, mewakili 18.5% daripada modal saham diperbesarkan, dengan hasil kutipan dijangka sebanyak RM62.2 juta.
Selain itu, tawaran jualan melibatkan 70.0 juta saham sedia ada atau 10.0% daripada modal saham diperbesarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih serta pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Bagi 35.0 juta saham untuk orang awam Malaysia, EIP menerima 21,490 permohonan bagi 1,111,878,700 saham dengan nilai kira-kira RM533.7 juta, sekali gus mencatatkan kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 30.8 kali.
Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 9,164 permohonan diterima bagi 293,760,100 saham dengan kadar lebihan langganan 15.8 kali. Sementara itu, bagi bahagian awam pula, 12,326 permohonan diterima untuk 818,118,600 saham, mencatatkan lebihan langganan 45.8 kali.
Sebanyak 17.5 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan, serta 14.0 juta saham kepada pemegang saham layak OCK Group Berhad, telah dilanggan sepenuhnya.
Selain itu, penempatan persendirian 63.0 juta saham baharu dan 24.5 juta saham tawaran kepada pelabur Bumiputera MITI telah ditempatkan sepenuhnya, manakala 45.5 juta saham tawaran kepada pelabur terpilih juga telah selesai ditempatkan.
Notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 18 Mei 2026.
Daripada hasil IPO sebanyak RM62.2 juta, EIP memperuntukkan RM18.3 juta (29.4%) untuk pembelian dan pembinaan ibu pejabat serta gudang baharu; RM10.0 juta (16.1%) bagi perbelanjaan modal sistem kecekapan tenaga bangunan; RM1.4 juta (2.2%) untuk penubuhan pejabat di Thailand; RM2.3 juta (3.7%) bagi penubuhan cawangan dan gudang di Johor; serta RM24.9 juta (40.1%) sebagai modal kerja. Baki RM5.3 juta (8.5%) pula untuk kos penyenaraian.
EIP dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Khamis, 21 Mei 2026. Selepas penyenaraian, EIP akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM336.0 juta berdasarkan harga terbitan 48 sen sesaham dan modal saham diperbesarkan sebanyak 700.0 juta saham.
M&A Securities bertindak sebagai Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO ini. - DagangNews.com






