
SHAH ALAM: Selebriti media sosial, Mohd Khairul Nizam Wahiddin atau lebih dikenali sebagai Abiejam tampil menjelaskan video tular mempelawa wanita menjadi isterinya dengan tawaran wang hantaran RM1 juta hanyalah sekadar gurauan dan kandungan hiburan.
Menurut Abiejam, video berkenaan dihasilkan bagi memperkenalkan perniagaan emas yang diusahakannya selain mencetuskan kandungan santai di media sosial.
“Sebenarnya video mencari isteri dengan tawaran hantaran RM1 juta itu hanya gurauan dan hiburan untuk memperkenalkan perniagaan emas saya.
“Jika ada yang tersinggung atau salah faham, saya memohon maaf. Saya tidak menyangka ramai yang mengambil serius mengenai perkara itu,” katanya.
Mengulas reaksi netizen, Abiejam berkata, pelbagai komen termasuk berbentuk kecaman dan penghinaan tidak menjejaskan dirinya, namun mengakui hairan apabila ramai membuat andaian serta mengemukakan persoalan yang dianggap sensitif.
Pada masa sama, Abiejam menegaskan dia tidak menjadikan harta sebagai ukuran dalam mencari pasangan hidup.
Sebaliknya, dia mengimpikan seorang wanita yang ikhlas, penyayang, memahami serta mampu menerima kekurangannya sebagai orang kurang upaya (OKU).
“Saya mungkin tidak mampu berjalan, tetapi saya mampu mencintai, menghargai dan membahagiakan wanita yang ditakdirkan Allah untuk saya,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya beliau bersikap riak dengan tawaran hantaran RM1 juta yang turut disifatkan bersamaan lebih satu kilogram emas mengikut harga semasa, Abiejam menegaskan nilai tersebut hanyalah simbol kesungguhan dan tanggungjawab seorang lelaki untuk membina rumah tangga.
Katanya, soal hantaran bukanlah ukuran sebenar kebahagiaan sesebuah perkahwinan, sebaliknya keikhlasan, kesetiaan dan tanggungjawab seorang suami lebih penting dalam melayari kehidupan berumah tangga.
“Nilai hantaran itu bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya melambangkan kesungguhan saya terhadap institusi perkahwinan. Apa yang lebih utama ialah bagaimana seorang suami menjaga maruah, kebajikan dan kebahagiaan isterinya,” katanya lagi.
Sebelum ini, video dimuat naik Abiejam yang menawarkan wang hantaran RM1 juta kepada bakal isterinya menjadi tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk ada yang mempersoalkan kemampuannya dalam memenuhi tanggungjawab sebagai suami.
The post Tawaran hantaran RM1juta buat bakal isteri, saya cuma bergurau – Abiejam appeared first on Utusan Malaysia.

