Tawaran pengambilalihan Apex Healthcare lepasi 90%, cetus pemerolehan mandatori pada harga RM2.64 sesaham

LocalBusiness & Finance
31 Dec 2025 • 11:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tawaran pengambilalihan Apex Healthcare lepasi 90%, cetus pemerolehan mandatori pada harga RM2.64 sesaham image is not available haziq31/12/2025 - 11:14 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Dis – Apex Healthcare Bhd memaklumkan tawaran pengambilalihan sukarela bagi kumpulan farmaseutikal itu telah melepasi paras ambang pemerolehan mandatori.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Apex Healthcare berkata, Pharmora Investment Holdings Pte Ltd bersama pihak-pihak yang bertindak secara bersama telah menerima penerimaan melebihi 90% daripada saham tawaran setakat jam 5 petang pada 30 Disember.

 

Menurut kenyataan itu, perkembangan berkenaan mencetuskan hak untuk melaksanakan pemerolehan mandatori ke atas baki saham di bawah Seksyen 222 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

 

Pharmora merupakan kenderaan tujuan khas milik firma ekuiti persendirian berfokuskan penjagaan kesihatan, Quadria Capital Investment Management Pte Ltd, yang disokong oleh Temasek Holdings (Private) Ltd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Pharmora bekerjasama dengan pemegang saham utama Apex Healthcare, Dr Kee Kerk Chin yang juga Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu, bagi melaksanakan tawaran pengambilalihan berkenaan.

 

Menurut pemakluman itu lagi, notis pemerolehan mandatori akan dikeluarkan kepada pemegang saham yang tidak bersetuju dalam tempoh dua bulan akan datang.

 

Tawaran pengambilalihan tersebut, yang kekal dibuka sehingga 5 Januari 2026, dibuat pada harga RM2.64 sesaham pada 7 November lalu.

 

Setakat Selasa, Pharmora dan pihak penawar muktamad bersama menguasai kira-kira 94.94% daripada saham terbitan Apex Healthcare termasuk saham yang diperoleh menerusi penerimaan tawaran dan pembelian di pasaran terbuka.

 

Tawaran pengambilalihan itu menjadi tanpa syarat pada 22 Disember selepas pihak penawar melepasi paras pegangan 90%.

 

Sebelum ini, tarikh penutupan tawaran dilanjutkan kepada 2 Januari 2026 daripada 19 Disember 2025 selepas pihak penawar pada awalnya belum mencapai paras pemerolehan mandatori.

 

Penasihat bebas, Kenanga Investment Bank Bhd sebelum ini mengesyorkan pemegang saham minoriti menerima tawaran berkenaan dengan menyifatkannya sebagai adil dan munasabah, mengambil kira premium antara 17% hingga 25% berbanding anggaran nilai sesaham RM2.11 hingga RM2.26 selain kecairan dagangan saham Apex Healthcare yang rendah.

 

Pihak penawar turut menyatakan bahawa mereka tidak berhasrat mengekalkan status penyenaraian Apex Healthcare di Bursa Malaysia selepas proses penswastaan itu selesai. - DagangNews.com

Terkini standard