
Kota Kinabalu: Pelajar Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik mereka boleh mendapat tawaran rebat untuk kemudahan pinjaman pengajian Yayasan Sabah mereka.
Mengumumkan perkara itu, Pengarah Yayasan Sabah Dato’ Sri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata beberapa skim tawaran rebat ditawarkan kepada pelajar kedua-dua institusi ini.
“Antaranya, penyerapan penuh pinjaman kepada biasiswa untuk pelajar yang mendapat Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.8 dan ke atas, rebat 50 peratus kepada pelajar yang mendapat PNGK 3.5 hingga 3.79, dan rebat 25 peratus bagi pelajar yang memperoleh PNGK 3.0 hingga 3.49 bagi peringkat Diploma dan Ijazah.
“Tawaran rebat ini diberikan sebagai menggalakkan lebih ramai anak-anak Sabah melanjutkan pengajian ke KTYS dan UCSF serta memberikan motivasi kepada pelajar untuk lebih cemerlang dalam akademik mereka,” katanya.
Beliau berkata UCSF menawarkan pelbagai program akademik dan kemahiran yang relevan kepada kemajuan sosioekonomi dan budaya Sabah serta Malaysia.
Sebanyak 14 program ditawarkan di bawah empat fakulti; Fakulti Pengurusan dan Keusahawanan, Fakulti Seni dan Multimedia Kreatif, Fakulti Sains dan Kelestarian Semula Jadi dan Fakulti Pembangunan dan Pengajian Kepelbagaian Budaya.
Ia juga disokong oleh Pusat Kajian Pembangunan (CDS), Institut Kajian Borneo (IBS), Pusat Pembangunan Bahasa dan Generik (CLGD), Kilang Pengajaran dan Pembelajaran dan Galeri Inspirasi Seni Alam (NIAG).
“Sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, UCSF telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 anak-anak Sabah.
“Jumlah ini meningkat kepada lebih 1,000 pelajar aktif pada t2024 bagi kursus ijazah, diploma dan sijil seterusnya menjadikannya jumlah tertinggi sejak penubuhannya.
“UCSF juga berjaya mencapai kategori Kompetitif dalam Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara),” tambahnya.
Gulamhaidar berkata KTYS ditubuhkan dengan objektif untuk menyediakan akses pendidikan berteraskan akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti tinggi; melahirkan graduan yang inklusif serta berketerampilan dan membentuk sistem tadbir urus yang berkualiti, cekap dan berintegriti.
“Bagi mencapai objektif tersebut, perkongsian pintar dengan pakar industri yang berkaitan, institusi pendidikan dan latihan diwujudkan.
“Bagi pembangunan modal insan, KTYS bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan dalam memenuhi keperluan pasaran kerja.
“Menerusi kempen KTYS Pilihanku, KTYS mencatat enrolmen 1,366 pelajar baharu, melebihi sasaran 1,345 pelajar baharu pada 2024. Ini menunjukkan peningkatan dalam kemasukan dan komitmen terhadap pendidikan berkualiti di Sabah,” katanya.
Pada 2024 juga, katanya, KTYS mencapai 98 peratus kebolehpasaran graduan melalui kerjasama strategik, termasuk dengan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia, yang menawarkan pindahan kredit dan jaminan pekerjaan kepada graduan yang melanjutkan pengajian di sana selepas tamat pengajian di KTYS.



