
KOTA KINABALU: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) menjalin kerjasama dengan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) untuk menganjurkan beberapa program sastera dan penerbitan buku, kata Presiden Bahasa Datuk Jasni Matlani.
Katanya, walaupun KTYS sebuah kolej aliran sains teknologi yang memberi tumpuan kepada bidang kejuruteraan, latihan vokasional, teknikal dan keusahawanan, tetapi kesusasteraan dan muzik tradisional, seni dan budaya juga merupakan bahagian penting dalam objektif kolej berkenaan.
“Saya gembira dengan jalinan kerjasama itu, kerana ia bukan sahaja menghadiahkan pilihan variasi aktiviti kepada pelajar KTYS, tetapi sekali gus menyumbang kepada usaha permohonan menjadikan bandaraya Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera yang diiktiraf oleh Unesco,” kata Jasni.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai kunjungan hormat Bahasa kepada Ketua Eksekutif KTYS Datuk Tah Nia Jaman di pejabat beliau di KTYS Sembulan, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden Bahasa Sitti Rahmah G Ibrahim, Naib Presiden Bahasa Juri Durabi dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Bahasa Duliam Suari.
Jasni, yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia berkata, kerjasama dalam konteks program sastera itu antara lain melibatkan penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan peringkat negeri Sabah, yang turut dianjurkan secara bersama dengan DBP dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).
“Bahasa juga mempelawa pemegang taruh di KTYS untuk sama-sama mengimarahkan sambutan Hari Puisi Nasional peringkat negeri Sabah pada penghujung Jun depan.
“Selain itu, Bahasa juga menawarkan kerjasama dalam penganjuran program bengkel penulisan kreatif melibatkan pelajar yang berminat di KTYS, di mana karya yang mereka hasilkan itu nanti akan diterbitkan oleh Bahasa.
“Semua kos penyuntingan dan penerbitan buku daripada bengkel ini akan dibiayai dan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Bahasa,” kata Jasni.
Menurut beliau, sekiranya ada tenaga pengajar, pensyarah dan sesiapa sahaja daripada KTYS yang mempunyai manuskrip buku berkaitan sastera atau bidang kejuruteraan, latihan teknikal, vokasional, perniagaan dan sebagainya, mereka juga dipelawa menghantar manuskrip buku mereka untuk diterbitkan oleh pihak Bahasa. Semua kos penerbitannya juga ditanggung oleh Bahasa.
“Kita ucapkan terima kasih kepada Datuk Tah Nia atas kunjungan hormat ini. Saya yakin kerjasama ini memberi impak besar kepada usaha menyebarluaskan sastera dalam kalangan masyarakat dan seterusnya membantu meningkatkan mutu sastera negara,” kata Jasni.




