Tawau dilanda banjir kilat

23 Feb 2026 • 12:54 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Banjir kilat melanda sebahagian besar Tawau pada Sabtu susulan hujan lebat berterusan selama enam jam, memaksa penutupan jalan dan mendorong Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengisytiharkan bencana banjir pada jam 11.30 malam.

Kawasan paling terjejas ialah Jalan Shan Shui di Batu 9, Jalan Apas – salah satu laluan utama di Tawau – yang tidak dapat dilalui sepenuhnya oleh kenderaan.

Video kejadian itu tular di media sosial, memaparkan arus deras mengalir di jalan berbukit berkenaan dengan laluan terputus sepenuhnya sekitar jam 10 malam.

Ramai pemandu terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan selepas laluan ditutup kepada semua kenderaan berikutan limpahan air dari kawasan bukit sekitarnya.

Jalan Sin On antara kawasan lain yang terjejas teruk, dengan paras air di beberapa lokasi meningkat sehingga hampir menenggelamkan kenderaan yang diparkir di tepi jalan.

Kawasan perumahan dan kampung yang sering dilanda banjir turut terjejas teruk termasuk Batu 2 Jalan Apas, Kampung Rawa-Rawa Batu 4, Ranggu serta beberapa kawasan bandar termasuk Takada.

Satu pasukan seramai 21 anggota terdiri daripada empat pegawai Angkatan Pertahanan Awam Tawau mula memantau kawasan berisiko banjir pada jam 10.15 malam.

Dalam pada itu, seramai 24 mangsa banjir, termasuk lapan kanak-kanak, diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau susulan hujan lebat berterusan hampir enam jam yang menyebabkan Kg Tanjung Batu Keramat, di sini, dilanda banir pada Sabtu malam.

Ketua BBP Tawau Jemishin Ujin berkata mangsa terdiri daripada 16 dewasa dan lapan kanak-kanak dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Balai Raya Kg Tanjung Batu Keramat.

Katanya sepasukan lapan anggota bomba serta tiga jentera, termasuk bot dan kenderaan EMRS dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.54 malam,“Pasukan yang diketuai Mohd Yahya Abdul Fatah tiba di lokasi sejauh lapan kilometer pada jam 10.02 malam,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Jemishin berkata operasi ditamatkan pada jam 12.04 tengah malam selepas paras air dilaporkan semakin surut, hujan mulai berhenti serta memastikan tiada bahaya lain di lokasi.

Sementara itu, Adun Tanjung Batu Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal sosialnya memohon penduduk Tanjung Batu dan Pasir Putih agar berhati-hati serta menjaga keselamatan diri dan keluarga susulan air pasang besar dan hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.

Dalam hantaran di media sosial. Dr Andi berkata beliau menghubungi Presiden Majlis Perbandaran Tawau Joseph Pang untuk mengaktifkan jentera bencana daerah agar bantuan dapat di segerakan.

Beliau turut melawat kawasan terjejas banjir di kawasannya bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan pada semua mangsa.