
BATU PAHAT, 1 NOV: Dua individu maut manakala tiga lagi cedera, termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori 10 tan dan sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Yong Peng, berhampiran Tabika KEMAS Kampung Sri Wangi, Yong Peng di sini, hari ini.
Mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah pemandu lelaki berusia 46 tahun dan penumpang wanita berusia 40 tahun yang tersepit di dalam kereta Perodua Alza berkenaan.
Tiga yang cedera ialah pemandu lori lelaki berusia 30 tahun serta dua penumpang Perodua Alza, iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Alif Halim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.24 tengah hari.
Beliau berkata sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai dan tiba pada 12.34 tengah hari.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan lori Hino 10 tan dan kereta Perodua Alza.
“Pemandu lelaki dan penumpang wanita Perodua Alza didapati tersepit di dalam kenderaan. PKO bertindak menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Alif berkata kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata kesemua mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut manakala jenazah mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dalam kenyataan berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori berkenaan terbabas akibat tayar pecah sebelum menghempap kereta dari arah bertentangan di Kilometer 8.5 Jalan Yong Peng-Muar.
Beliau berkata dua mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu kereta Mohd Hardi Mohd Husin, yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, kedua-dua belah tangan, serta melecur pada anggota badan manakala isterinya Tengku Syafirana Tengku Abdullah mengalami kecederaan pada kepala, organ dalaman serta melecur pada anggota badan.
Shahrulanuar Mushaddat berkata kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang juga anak angkat pasangan itu mengalami luka dan melecur pada anggota badan manakala anak lelaki mereka berusia lapan tahun mengalami luka dan melecur pada kaki serta kecederaan pada kepala.
Beliau berkata pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan luka pada mata kanan dan pendarahan pada paru-paru kiri.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


![[KEMAS KINI] Tayar lori pecah punca nahas ragut nyawa suami isteri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/nahas-kemalangan-1024x768.jpeg)

![[KEMAS KINI] Suami isteri maut MPV dihempap lori bawa tar dikenal pasti](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/dihempap-lori-1024x787.jpeg)

