Tayar pecah punca lori terbabas hempap MPV, suami isteri maut

1 Nov 2026 • 8:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tayar pecah punca lori terbabas hempap MPV, suami isteri maut
Suami isteri maut manakala dua kanak-kanak cedera selepas MPV dinaiki mereka dihempap lori di Jalan Yong Peng-Muar, Batu Pahat.
Image from: Tayar pecah punca lori terbabas hempap MPV, suami isteri maut
Tayar lori pecah dipercayai punca kenderaan itu terbabas dan menghempap sebuah MPV yang dinaiki empat sekeluarga.

BATU PAHAT - Tayar lori dipercayai pecah sebelum kenderaan berat itu terbabas lalu menghempap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), mengakibatkan suami isteri maut dalam kemalangan di Kilometer 8.5, Jalan Yong Peng-Muar di sini, tengah hari Ahad.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan dipercayai berlaku jam 12.30 tengah hari ketika MPV berkenaan dalam perjalanan dari arah Yong Peng menghala ke Parit Sulong.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan selepas tayarnya pecah sebelum terbabas dan menghempap MPV terbabit.

"Akibat kejadian itu, pemandu MPV, Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mohd Hardi mengalami kecederaan di kepala dan kedua-dua tangan selain melecur di beberapa bahagian badan. Isterinya pula parah di kepala dan organ dalaman selain turut melecur," katanya dalam kenyataan.

**media[3696594]**

Shahrulanuar berkata, dua lagi penumpang MPV iaitu kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang juga anak angkat pasangan terbabit serta anak kandung lelaki berusia lapan tahun mengalami luka dan melecur di kaki selain cedera di kepala.

"Kedua-dua kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.

"Orang ramai atau saksi kejadian diminta menghubungi polis atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved