
Taylor Swift telah mencipta sejarah dalam dunia muzik apabila beliau menjadi artis pertama yang merangkul kesemua 10 tempat di carta lagu teratas Amerika Syarikat (AS) sejurus pelancaran albumnya yang ke-10, Midnights.
Lagu Anti-Hero mendahului di tempat pertama dalam carta Billboard Hot 100 dan menurut Billboard, ini adalah kali pertama dalam sejarah 64 tahun carta itu, di mana seorang artis solo telah membolot keseluruhan 10 tempat teratas.
Sebelum ini, penyanyi rap terkenal Drake, pernah menghampiri rekod penyanyi wanita itu dengan mendapat 9 tempat dalam carta tersebut pada bulan September 2021.
Penyanyi berusia 32 tahun itu menzahirkan rasa teruja melalui laman Twitter miliknya, lebih manis lagi pencapaian ’10/10′ itu berlaku pada album ke-10 yang diterbitkannya.
10 out of 10 of the Hot 100??? On my 10th album??? I AM IN SHAMBLES. https://t.co/q1n5Zc6pYA
— Taylor Swift (@taylorswift13) October 31, 2022
Sebagai info, Midnights adalah album kesepuluh Taylor Swift yang dikeluarkan pada 21 Oktober lepas selepas penyanyi itu melakukan pengumuman mengejut sewaktu memenangi Muzik Video terbaik di anugerah Video Music Awards (VMA), pada bulan Ogos lalu.
Malah, menurut platform penstriman Spotify, album yang bergenre Pop itu menjadi antara penstriman terbanyak pada minggu pertama dan rekod itu mengatasi penyanyi sensasi dari United Kingdom, Adele untuk album 25.
Korang dah layan ke album Midnights?

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


