
KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) menafikan dakwaan bekas anggotanya Sarjan K. Vegeneswaran, yang tular di media sosial bahawa beliau masih berstatus sebagai anggota yang sedang berkhidmat susulan keputusan Mahkamah Rayuan.
Menerusi kenyataan rasmi hari ini, TDM memaklumkan, dakwaan yang dibuat oleh Vegeneswaran menerusi video di aplikasi TikTok pada 23 Julai lalu adalah tidak berasas.
Menurut TDM, keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Mei 2023 hanya membatalkan tindakan pemberhentian terdahulu atas isu prosedur.
Bagaimanapun katanya, ia tidak membatalkan sabitan tatatertib terhadap Vegeneswaran yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine menerusi ujian saringan yang disahkan oleh Jabatan Patologi Hospital Kepala Batas.
“Susulan keputusan itu, TDM telah menamatkan perkhidmatannya mengikut Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Terma-Terma Perkhidmatan Bagi Angkatan Tetap) 2013 apabila beliau menamatkan tempoh perkhidmatan sepenuh masa selama 18 tahun.
“Semua tunggakan gaji, elaun serta faedah yang layak telah dibayar dan diterima oleh bekas anggota tanpa sebarang bantahan atau pertikaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas dakwaan bahawa Vegeneswaran masih merupakan anggota TDM kerana masih memiliki kad MyTentera, TDM menjelaskan status seseorang anggota ditentukan oleh undang-undang serta rekod perkhidmatan dan bukannya pemilikan kad pengenalan tentera.
Menurut kenyataan itu, kad MyTentera masih berada dalam simpanan bekas anggota berkenaan kerana urusan dokumentasi pemberhentian belum disempurnakan olehnya.
“TDM turut menegaskan bahawa mana-mana bekas anggota yang telah ditamatkan perkhidmatannya tidak lagi berhak mengemukakan dirinya sebagai anggota Tentera Darat.
“Sebarang penggunaan kad MyTentera atau pemakaian pakaian seragam tentera bagi menggambarkan seseorang masih berstatus anggota yang sedang berkhidmat boleh menjadi suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan tertakluk kepada siasatan serta tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, TDM menegaskan pihaknya sentiasa menghormati setiap keputusan mahkamah serta melaksanakan semua tindakan mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan imej dan reputasi Angkatan Tentera. – KOSMO! ONLINE
The post TDM nafi Vegeneswaran masih berkhidmat, sabitan tatatertib kekal appeared first on Kosmo Digital.





