Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu tambah pegangan dalam Awantec kepada 5.48%

05/08/2025 - 09:17
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 5 Ogos – Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) terus memperkukuhkan keyakinannya terhadap potensi AwanBiru Technology Bhd (Awantec) dengan menambah pemilikan saham dalam penyedia perkhidmatan teknologi awan itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LTAWNT berkata, ia telah memperoleh sebanyak 3.13 juta saham tambahan atau 0.396% kepentingan dalam Awantec menerusi pasaran terbuka sejak Oktober tahun lalu.
“Berikutan pembelian berterusan tersebut, pegangan langsung LTAWNT dalam Awantec kini meningkat kepada 5.48%, berbanding 5.08% sebelumnya,” katanya.
LTAWNT pertama kali muncul sebagai pemegang saham utama Awantec pada September 2024 dengan pegangan awal sebanyak 5.002% atau 39.43 juta saham dan telah konsisten menambah saham sejak itu.
Dengan perkembangan terbaharu ini, LTAWNT kini menjadi pemegang saham keempat terbesar dalam Awantec, selepas Areca Dynamic Growth Fund (13.06%), CIMB Group Nominees (Tempatan) Sdn Bhd (12.49%) dan pengasas Awantec merangkap penasihat strategik syarikat, Abu Hasan Ismail, yang memegang 10.10% melalui Eco Cloud Assets Sdn Bhd.
Langkah LTAWNT ini dilihat sebagai satu lagi petunjuk keyakinan institusi pelaburan negeri terhadap prospek jangka panjang sektor teknologi awan dan digitalisasi perkhidmatan kerajaan, yang merupakan antara bidang tumpuan utama Awantec.
Syarikat itu sebelum ini aktif dalam pelbagai inisiatif transformasi digital sektor awam, termasuk penyelesaian berasaskan awan, latihan teknologi serta kerjasama dengan syarikat teknologi global. - DagangNews.com
standard


