Teaser SUV Elektrik Hyundai Ioniq 9 Didedahkan – Pelancaran November Ini

TechnologyCars
1 Nov 2024 • 7:00 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Syarikat automotif Korea, Hyundai, nampaknya tidak lama lagi akan muncul dengan model Ioniq baharu selepas sebuah teaser dikongsikan yang menunjukkan garis badan Hyundai Ioniq 9.

Daripada teaser tersebut, Hyundai mengesahkan bahawa model baharu itu nanti adalah sebuah SUV elektrik (EV) dengan tiga barisan tempat duduk yang bakal dilancarkan dalam bulan November.

Rekaan Diinspirasikan Daripada Model Konsep Hyundai SEVEN

image is not available

Selain bayangan dari sudut tepi, Hyundai turut mendedahkan beberapa foto lain yang memperlihatkan reka bentuk lampu hadapan, rim dan panel pintu belakang Ioniq 9. Walaupun maklumat terperinci belum dikongsikan, ciri-ciri ini jelas menunjukkan elemen rekaan daripada model konsep Hyundai SEVEN yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Sentuhan Reka Bentuk Unik Ioniq

image is not availableimage is not availableimage is not available

Kita juga dapat melihat bahawa Ioniq 9 tampil dengan beberapa elemen rekaan dari model Ioniq terdahulu, seperti Ioniq 5 dan Ioniq 6. Ciri yang paling ketara termasuk lampu LED Parametric Pixel DRL tunggal di bahagian hadapan, pemegang pintu yang terbenam dan lekukan tajam yang diinspirasikan daripada pakaian tradisional Korea, Hanbok.

Konsep Reka Bentuk Aerodinamik “Aerosthetic”

Menurut Hyundai, reka bentuk "Aerosthetic" Ioniq 9 diilhamkan daripada bentuk bot, dengan lengkungan bumbung tunggal yang aerodinamik.

Turut dapat diamati daripada teaser ini adalah jarak roda yang sangat panjang, yang sesuai dengan kapasiti tempat duduk tiga baris bagi ruang kabinnya.

Dibina Atas Platform Modular E-GMP

Hyundai Ioniq 9 dijangka dibangunkan di atas platform Global Modular Platform (E-GMP) yang sama seperti model Ioniq 5 dan Ioniq 6. Berkemungkinan besar, ia juga akan menggunakan trenkuasa dan bateri yang serupa dengan model Kia EV9.

Sebagai perbandingan, Kia EV9 dalam versi GT-Line ditawarkan dalam versi pacuan semua roda (AWD) dua motor yang menghasilkan 385 ps dan tork 700 Nm. Baterinya yang berkapasiti 99.8 kWj menawarkan jarak perjalanan maksimum sehingga 505 km.

Pelancaran Rasmi November Ini

Hyundai dijangka akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai Ioniq 9 apabila SUV EV ini dilancarkan secara rasmi dalam bulan ini.