liza23/11/2026 - 15:36 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov – Tec D Malaysia, anak syarikat TD SYNNEX Corporation, dilantik sebagai rakan pengedar Hewlett Packard Enterprise (HPE) di Malaysia susulan pemilihan syarikat induknya sebagai salah satu rakan pengedaran global HPE awal tahun ini.
Pelantikan itu membolehkan Tec D membawa keupayaan pengedaran global TD SYNNEX ke pasaran tempatan, sekali gus memperluas akses rakan niaga kepada portfolio penyelesaian teknologi HPE merangkumi rangkaian, pengkomputeran awan hibrid dan kecerdasan buatan (AI).
TD SYNNEX berkata, pemilihan itu menyokong peralihan HPE kepada model pengedaran global yang lebih bersepadu bagi memudahkan urusan rakan niaga mendapatkan akses kepada portfolio produknya serta memastikan pelaksanaan perniagaan lebih konsisten merentasi pasaran.
Menerusi model berkenaan, Tec D akan memperluas sokongan kepada rakan niaga di Malaysia, termasuk membantu mereka membangunkan keupayaan teknikal dan memperluas penawaran penyelesaian teknologi mengikut keperluan pelanggan.
Permintaan AI dan pengkomputeran awan buka peluang
Pengurus Besar Negara Tec D Malaysia, CY Leong berkata, perkembangan ekonomi digital Malaysia yang disokong peningkatan pelaburan dalam AI, pengkomputeran awan dan infrastruktur mewujudkan peluang perniagaan kepada rakan niaga teknologi.
Beliau berkata, model pengedaran bersepadu HPE menyediakan kaedah lebih mudah dan konsisten kepada rakan niaga untuk mengakses keseluruhan portfolio syarikat itu.
“Gabungan hubungan tempatan Tec D yang telah lama terjalin dengan keupayaan global TD SYNNEX membolehkan pihaknya membantu rakan niaga mengembangkan perniagaan berkaitan HPE dan memanfaatkan permintaan teknologi yang semakin meningkat.
“Bagi menyokong usaha itu, Tec D akan menyediakan latihan berdasarkan peranan dan sokongan pemasaran bagi membantu rakan niaga meningkatkan kemahiran teknikal merentasi portfolio HPE,” katanya dalam satu kenyataan.
Sokongan berkenaan turut merangkumi pembangunan penyelesaian bersepadu yang menggabungkan teknologi rangkaian, pengkomputeran awan hibrid dan AI, selain mempercepatkan usaha pemasaran serta penawaran kepada pelanggan.
Perluas sokongan menerusi Destination AI
Sementara itu, Naib Presiden Advanced Solutions Tech Data bagi rantau Asia Pasifik dan Jepun, Anand Chakravarthy berkata, pemilihan itu mencerminkan keupayaan kumpulan untuk memperluas peluang pertumbuhan kepada rakan niaga di rantau berkenaan.
Beliau berkata, TD SYNNEX menggabungkan capaian pasaran, keseragaman operasi dan pengetahuan pasaran tempatan bagi membantu rakan niaga memperkukuh pemahaman terhadap portfolio HPE serta memperluas perniagaan mereka.
Model pengedaran itu turut disokong keupayaan global Tec D yang merangkumi perkhidmatan logistik dan rakan niaga, perkhidmatan profesional serta kitaran hayat produk, pendigitalan dan sokongan pemasaran.
Selain itu, rakan niaga boleh memanfaatkan program Destination AI yang diperluas Tec D di rantau Asia Pasifik dan Jepun dengan penawaran khusus kepada saluran pengedaran.
Program itu bertujuan membantu rakan niaga membangunkan, mengembangkan dan menjana pendapatan daripada perniagaan AI melalui penyelesaian yang boleh digunakan secara berulang. - DagangNews.com




