Techna-X akui lambat umum jual saham RM45 juta dalam HK Aerospace sebelum perjanjian ditamatkan

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Techna-X akui lambat umum jual saham RM45 juta dalam HK Aerospace sebelum perjanjian ditamatkan Image from: Techna-X akui lambat umum jual saham RM45 juta dalam HK Aerospace sebelum perjanjian ditamatkan amree10/09/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Sept — Techna-X Berhad mengakui berlaku kelewatan dalam membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia berhubung perjanjian jualan saham bernilai RM45 juta bagi pelupusan 50% kepentingannya dalam HK Aerospace Beidou New Energy Technology Co Ltd (HKAB), yang disifatkan sebagai kesilapan pentadbiran.

 

Dalam maklum balas tambahan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, kumpulan itu menjelaskan perjanjian jualan dan pembelian saham (SSA) berkenaan dimeterai pada 30 Disember 2025 tetapi tidak diumumkan serta-merta seperti yang diwajibkan di bawah Bab 10 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR).

 

Syarikat tersebut berkata, perjanjian berkenaan kemudiannya ditamatkan pada 10 Julai 2026 selepas pembeli terdahulu gagal menyediakan jadual pembayaran atau aturan kewangan yang muktamad dan memuaskan bagi melunaskan keseluruhan harga pembelian RM45 juta.

 

"Sehubungan itu, Techna-X mengakui tidak mematuhi sepenuhnya Perenggan 10.06 berkaitan pengumuman segera dan Perenggan 10.07 mengenai kelulusan pemegang saham pada masa perjanjian tersebut dimeterai," katanya kepada Bursa Malaysia.

 

Menurut syarikat, nisbah peratusan tertinggi bagi transaksi itu ketika SSA Disember 2025 ditandatangani adalah kira-kira 80.43%, berdasarkan nilai pelupusan RM45 juta berbanding aset bersih disatukan kumpulan sebanyak RM55.948 juta pada 30 Jun 2024.

 

Techna-X berkata pihaknya kesal dengan kelewatan tersebut yang berpunca daripada kesilapan pentadbiran, namun butiran transaksi berkenaan kemudiannya dimasukkan dalam Laporan Tahunan 2025 sebagai langkah ketelusan.

 

Techna-X_DagangNews2026

 

Syarikat turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah pun memperkukuh prosedur pematuhan dan pendedahan dalaman bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi pada masa hadapan.

 

Pembeli terdahulu ialah Nong You Hua, 71, seorang warga China yang juga merupakan pemegang saham sedia ada dengan kepentingan 15% dalam HKAB serta mempunyai kepentingan perniagaan dalam sektor tenaga, infrastruktur teknologi dan pembangunan perindustrian di Guangxi dan Jiangxi, China.

 

Di bawah SSA yang dimeterai pada 30 Disember 2025, Techna-X bersetuju menjual 100,000 saham biasa HKAB yang mewakili 50% daripada modal saham terbitan syarikat itu pada harga RM45 juta, tertakluk antara lain kepada pelepasan dan penyelesaian hutang HKAB berjumlah HKD20.13 juta.

 

Transaksi tersebut sepatutnya diselesaikan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas notis duti setem dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan, namun kegagalan pembeli menyediakan aturan kewangan bagi pembayaran penuh menyebabkan transaksi tidak dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

 

Techna-X berkata pembatalan SSA itu akhirnya membawa kepada penamatan perjanjian pada 10 Julai 2026, manakala pengumuman tambahan bertarikh 10 September 2026 dibuat bagi memenuhi permintaan penjelasan lanjut Bursa Securities berhubung transaksi berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved