amree11/09/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Sept — Techna-X Berhad melantik anggota kerabat diraja Johor, Tunku Dr Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, sebagai Timbalan Pengerusi syarikat berkenaan.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, beliau turut dilantik sebagai Pengarah Eksekutif dengan kedua-dua jawatan berkenaan sudah pun berkuat kuasa pada 10 September 2026.
Pelantikan itu menarik perhatian susulan latar belakang Tunku Kamariah, 70, yang berpengalaman luas dalam dunia korporat, termasuk penglibatan aktif sektor pembinaan, pembangunan dan pertanian.
Kakanda sulung Sultan Johor dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu, memiliki kelayakan Doktor Falsafah dalam bidang kepimpinan kreatif daripada LimKokWing University of Creative Technology.
"Beliau kini antara pemegang amanah Yayasan Sultan Iskandar, yang menyokong sarjana pascasiswazah daripada golongan kurang berkemampuan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan," jelas Techna-X.

Tunku Kamariah turut aktif dalam pelbagai kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan antaranya sebagai Penaung PS The Children, sebuah badan bukan kerajaan yang membantu kanak-kanak mangsa penderaan.
Di peringkat antarabangsa pula ujar kenyataan kumpulan tersebut, beliau turut berperanan besar dengan berkhidmat sebagai Duta Asian Liver Center di Stanford University, Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, beliau turut merupakan Pengarah di AHB Holdings Berhad yang ditubuhkan sejak 1965 dengan nama asal Artwright Holdings Berhad sebelum diperbadankan kepada nama sekarang pada 1993.
Techna-X berkata tiada konflik kepentingan dikenal pasti berkaitan pelantikan tersebut, manakala Tunku Kamariah juga tidak mempunyai kepentingan dalam sekuriti Techna-X atau anak syarikatnya.
Dari segi hubungan keluarga, beliau ialah ibu kepada Tengku Shahrain Shah Tengku Sulaiman Shah, yang merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Techna-X, menurut makluman kepada Bursa Malaysia. - DagangNews.com





