Tecno mula memperkenalkan EllaClaw pada tahun 2024 sebagai projek Beta. Sejak itu, syarikat ini sering menambah baiknya dengan ciri baharu untuk memudahkan pengguna. Idea di sebalik EllaClaw juga jelas iaitu membawa AI yang lebih praktikal kepada pengguna telefon pintar khususnya di pasaran sedang membangun.

Salah satu peningkatan dalam kemaskini terbaharu EllaClaw ialah lebih 40 Smart Skills yang boleh digunakan untuk mengurus fungsi peranti seperti mengosongkan RAM/CPU, mengenal pasti aplikasi yang banyak menggunakan bateri, mengurangkan haba panas dan mengawal penggunaan data. Tecno juga meluaskan kemampuan EllaClaw untuk berfungsi di pelbagai aplikasi.

Dengan kebenaran pengguna, agen AI ini boleh berhubung dengan aplikasi beli-belah, pengangkutan, penghantaran makanan dan rumah pintar. Berbeza dengan sistem tersembunyi, EllaClaw menggunakan paparan terbuka di skrin supaya pengguna dapat mengikuti setiap langkah dan mengekalkan kawalan penuh terhadap apa yang dilakukan oleh AI. Pada masa yang sama, ia juga boleh mempelajari tabiat pengguna lalu membantu mengurus jadual, merancang perjalanan, memberi peringatan dan memantau cuaca.
Tecno menekankan bahawa EllaClaw dibangunkan berasaskan prinsip kawalan pengguna. Walaupun ia masih dalam fasa pembangunan, contoh terbaharu ini memberikan gambaran jelas tentang hala tuju Tecno untuk menjadikan EllaClaw sebagai agen AI praktikal pada telefon pintar dan bukan sekadar pembantu maya.



