Tokoh media dan filantropi, Ted Turner meninggal dunia semalam pada usia 87. Sebab kematian tidak diumumkan oleh ahli keluarga tetapi pada tahun 2018, Turner mengumumkan beliau menghidap penyakit dimentia.
Semasa hayat beliau, Turner menjadi pelopor kepada pembentukan stesen berita 24 jam menerusi CNN pada tahun 1980 yang kini sudah menjadi perkara lazim di dunia. Menerusi CNN beliau ingin meningkatkan pengetahuan rakyat Amerika Syarikat kepada dunia luar. Pada waktu tersebut berita hanya dipaparkan beberapa jam sehari pada slot tertentu sahaja.

Pada peringkat awal penubuhan CNN, ia dikritik kerana ramai mengatakan tiada pasaran untuk saluran yang hanya menerbitkan berita 24 jam sehari. Nama CNN mula naik dan dikenali menerusi liputan jam Perang Teluk pada tahun 1990. Buat pertama kali dalam sejarah, perkembangan sebuah perang dapat diikuti secara masa nyata sepanjang hari.
Menerusi syarikat media gergasi beliau, Turner juga bertanggungjawab menubuhkan Cartoon Network yang merupakan saluran animasi 24 jam sehari. Di dekad 1990an, beliau mencari mencipta dan menerbitkan siri animasi Captain Planet and The Planeteers untuk meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar serta pencemaran yang melahirkan generasi yang lebih cakna mengenai kelestarian alam.
Bagi peminat sukan gusti pula, beliau ialah hartawan yang membelanjakan wang hampir tanda had untuk menubuhkan World Championship Wrestling yang bersaing dengan World Wrestling Federation (WWF). Perang Malam Isnin antara WCW dan WWF adalah era kegemilangan gusti yang masih diingati sehingga sekarang.
Di luar bidang perniagaan, Turner mendermakan kekayaan beliau untuk menyokong inisiatif PBB, organisasi menentang penggunaan senjata nuklear, melindungi haiwan terancam, pertubuhan melindungi alam sekitar dan menentang kekerasan Israel ke atas warga Palestin.



