JDT janji jaga maruah, elak diaibkan Chelsea

FootballSports
9 Aug 2026 • 8:52 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JDT janji jaga maruah, elak diaibkan Chelsea

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu menjaga maruah bola sepak Malaysia apabila turun melayan kunjungan penyandang juara Piala Dunia Kelab, Chelsea di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Walaupun berdepan antara pasukan terbaik dunia yang dibarisi pemain bintang bertaraf antarabangsa, Harimau Selatan tekad memberikan tentangan sengit kepada kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Aksi berprofil tinggi itu adalah ujian terbesar Harimau Selatan dalam persiapan menghadapi musim baharu, selain peluang untuk membuktikan kemampuan sebenar juara Liga Super itu di hadapan penyokong sendiri.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata, perlawanan menentang Chelsea membawa nilai yang jauh lebih besar daripada sekadar aksi persahabatan pramusim.

Menurut pengendali dari Sepanyol itu, pertemuan itu memberi peluang kepada pemainnya untuk mengukur kemampuan ketika berdepan pasukan elit dunia selain mengangkat lagi nama JDT di pentas antarabangsa.

“Berdepan kelab seperti Chelsea merupakan peluang yang amat baik untuk pemain-pemain dan kelab kami, bukan sahaja dari sudut bola sepak tetapi juga dalam memperluaskan jenama JDT.

“Kami amat menghormati segala pencapaian mereka, namun kami akan menghadapi perlawanan ini dengan penuh keyakinan dan cita-cita untuk mempamerkan aksi terbaik. Beraksi dalam perlawanan pramusim di hadapan penyokong sendiri menjadikan kesempatan ini lebih istimewa,” katanya.

Pertemuan itu turut menemukan dua jurulatih dari Sepanyol apabila Xisco bakal beradu strategi dengan bekas bintang Real Madrid dan Liverpool, Xabi Alonso yang kini mengetuai revolusi baharu Chelsea.

Kehadiran Chelsea juga dijangka menarik perhatian peminat dari seluruh rantau Asia Tenggara dengan Stadium Sultan Ibrahim dijangka dipenuhi ribuan penyokong yang mahu menyaksikan sendiri kelibat bintang-bintang The Blues.

Aksi tersebut bukan sahaja menjadi pentas promosi buat JDT, malah turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara bola sepak antarabangsa berprestij.-UTUSAN

The post JDT janji jaga maruah, elak diaibkan Chelsea appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved