Tegur nasi belum dimasak, tangan lelaki ditetak rakan sekerja

17 Mar 2026 • 10:29 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek (tengah) berjaya ditahan di Jalan Habib Hussien, Tawau.

TAWAU - [KEMAS KINI] Berang ditegur rakan sekerja kerana nasi belum dimasak, seorang lelaki bertindak luar kawalan menetak tangan rakannya dalam kejadian di sebuah restoran di Kubota Sentral di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa berusia 24 tahun yang mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri segera mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan polis juga dibuat berhubung kejadian itu.

"Menurut maklumat, semasa berada di tempat kerja di sebuah restoran, mangsa telah menegur suspek yang juga rakan sekerjanya kerana mendapati nasi belum dimasak.

"Suspek yang ditegur tiba-tiba menjadi emosi dan bertindak luar kawalan lalu menetak bahagian tangan kiri mangsa menggunakan pisau pemotong ikan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, mangsa yang cedera menerima 10 jahitan pada tangan kirinya yang cedera dan turut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

"Susulan insiden mendatangkan kecederaan itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau telah mengesan suspek yang berusia 21 tahun.

"Suspek yang juga pekerja di restoran tersebut berjaya ditahan di sekitar kawasan tepi jalan Jalan Habib Hussein di sini pada jam 7 malam Isnin.

"Turut dirampas pisau berukuran 33 sentimeter dan plastik putih dipercayai ada kaitan dengan kes yang disiasat," katanya.

Jasmin berkata, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Permohonan reman dibuat hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.