Tekanan kos mula dirasai dalam rantaian bekalan makanan - Menteri Ekonomi

LocalBusiness & Finance
28 Apr 2026 • 6:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tekanan kos mula dirasai dalam rantaian bekalan makanan - Menteri Ekonomi Image from: Tekanan kos mula dirasai dalam rantaian bekalan makanan - Menteri Ekonomi hamden28/04/2026 - 18:42 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 April - Tekanan kos dalam rantaian bekalan makanan domestik mula menunjukkan tanda awal meskipun harga barangan makanan utama masih berada dalam julat terkawal, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

Beliau berkata, pergerakan harga bagi tempoh 20 hingga 22 April masih kekal di bawah paras 10%, namun peningkatan kos input dan logistik mula memberi tekanan kepada rantaian bekalan.

 

Antara perubahan harga yang direkodkan ialah ayam standard meningkat 3.3% kepada RM9.70 sekilogram, telur gred C naik 7.3% kepada RM3.93 bagi 10 biji, manakala daging lembu susut 3.8% kepada RM35.92 sekilogram.

 

Bagi makanan laut, ikan kembung India turun 1.1% kepada RM16.10 sekilogram, manakala ikan selayang dan udang putih masing-masing meningkat 0.95% dan 0.61%.

 

Dalam kategori sayuran, sawi meningkat kepada RM6.51 sekilogram, bayam naik hampir 5% kepada RM5.59 sekilogram, manakala santan segar meningkat 3.6% kepada RM16.41 sekilogram.

 

“Trend ini menunjukkan tekanan kos input dan logistik mula memberi isyarat awal kepada rantaian bekalan makanan domestik,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini.

 

Beliau berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan tersebut termasuk faktor huluan seperti baja, diesel, tenaga, bahan mentah serta kos pengedaran bagi memastikan kestabilan harga.

 

Dalam masa sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada keselamatan bekalan elektrik negara yang kekal stabil, namun berdepan risiko ketidaktentuan harga bahan api global.

 

Menurutnya, campuran penjanaan elektrik negara ketika ini masih didominasi arang batu sebanyak 54% dan gas 40%, sekali gus mendedahkan sistem kepada turun naik harga komoditi antarabangsa.

 

“Apabila harga arang batu dan gas meningkat, kos penjanaan elektrik turut terkesan dan ini berpotensi memberi kesan kepada tarif jika tidak diurus dengan berhemat,” katanya.

 

Beliau berkata import arang batu bagi suku pertama 2026 berjumlah 7.94 juta tan metrik, dengan keperluan tahunan diunjurkan sekitar 35.99 juta tan metrik.

 

Suruhanjaya Tenaga kini memantau paras stok arang batu di loji janakuasa bagi memastikan tahap bekalan minimum sentiasa mencukupi.

 

Sementara itu, penggunaan gas bagi penjanaan elektrik pada suku pertama 2026 mencatat purata 1,011 juta kaki padu standard sehari, disokong bekalan domestik dari Kerteh.

 

Bagaimanapun, penggunaan gas dijangka menurun antara Julai dan Ogos susulan kerja penyelenggaraan, sekali gus memerlukan fleksibiliti dalam penggunaan bahan api alternatif.

 

Dari segi permintaan, penggunaan elektrik meningkat dengan purata permintaan puncak naik 1.9% kepada 20,640MW antara 20 hingga 25 April, berbanding minggu sebelumnya.

 

Permintaan tertinggi baharu sebanyak 21,468MW turut direkodkan pada 23 April, dipacu cuaca panas dan peningkatan penggunaan penyaman udara.

 

Kos penjanaan elektrik bagi Mei pula dijangka meningkat susulan kenaikan harga arang batu kepada RM21.28 per juta unit termal British berbanding harga asas RM19.14.

 

Kerajaan bagaimanapun memberi jaminan bahawa kesan kenaikan kos akan diminimumkan, dengan 85% isi rumah atau 7.5 juta pengguna yang menggunakan bawah 600kWh kekal dikecualikan daripada caj Pelarasan Bahan Api Automatik.

 

“Bekalan elektrik kekal stabil, namun pengurusan kos penjanaan perlu dilaksanakan secara berhemah bagi mengurangkan kesan kepada pengguna dan perniagaan,” katanya.

 

Beliau turut menggalakkan langkah penjimatan tenaga seperti penggunaan elektrik secara berhemat dan pengurusan beban pada waktu puncak bagi membantu menstabilkan permintaan. - DagangNews.com

Terkini featured standard