
JIKA dahulu telefon bimbit seperti Nokia menjadi antara pilihan pengguna kerana kelebihannya yang tahan lasak dan masih boleh digunakan meskipun sebelumnya sudah jatuh dan komponennya terpisah.
Namun, evolusi telefon bimbit kemudian dilihat telah menjadikan peranti ini lebih ‘manja’ dan mudah rosak jika terjatuh ke lantai atau dalam air.
Sememangnya telefon pintar sudah menjadi sebahagian kehidupan harian, digunakan hampir di mana-mana termasuk ketika bekerja, mengembara, bersukan dan melakukan aktiviti luar.
Kebergantungan terhadap peranti ini menyebabkan aspek ketahanan semakin diberi perhatian. Jika telefon pintar terdahulu lebih bergantung kepada sarung pelindung untuk mengurangkan risiko kerosakan, perkembangan teknologi kini membolehkan ciri ketahanan dibina terus ke dalam struktur peranti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Honor, Ethan Chen, ketahanan telefon pintar perlu menjadi salah satu kelebihan yang perlu dikembangkan untuk telefon pintar dalam semua kelas.
“Ketahanan perlu sentiasa menjadi teras dalam sebuah telefon dan kini terdapat banyak inovasi dan teknologi yang boleh diterokai terutama untuk membolehkan sebuah telefon menjadi tahan lasak
“Kami juga membawakan teknologi ketahanan dalam peranti antaranya Ultra-Bounce Anti-Drop Technology 4.0 yang diinspirasikan daripada sistem keselamatan Halo yang digunakan untuk melindungi pelumba Formula 1,” katanya pada pelancaran model Honor X9e Pro di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, dalam teknologi ini, seni bina pengurusan menggabungkan struktur berbentuk lengkungan, pengukuhan logam berketahanan tinggi serta pelekat pada keseluruhan permukaan.
Ia bagi membantu menyerap dan mengalihkan daya hentaman daripada mengena komponen kritikal seperti paparan dan papan utama.
Pelekat gam poliuretana (PUR) yang digunakan mempunyai ketahanan kira-kira 10 kali ganda lebih tinggi berbanding pelekat belakang biasa.
Teknologi ini membantu memastikan skrin kekal kukuh apabila telefon terjatuh, selain mengagihkan hentaman ke kawasan lebih luas bagi mengurangkan risiko kerosakan.

Kongsinya lagi, teknologi ini mampu menahan jatuhan dari ketinggian sehingga tiga meter dan membantu mengurangkan risiko kerosakan skrin sehingga 82 peratus sekali gus menjadikan boleh bertahan jika jatuh dalam keadaan ekstrem.
Selain Honor, jenama Redmi turut meneroka elemen ketahanan perantinya dengan inovasi yang direka bagi menahan cabaran fizikal penggunaan harian.
Redmi dalam satu kenyataan turut menyatakan siri Note 17 telah direka dengan ketahanan hentaman jatuh serta perlindungan menyeluruh terhadap habuk dan air untuk menangani hentaman sebenar, percikan air dan persekitaran yang mencabar.
Antara teknologi diketengahkan adalah Teknologi Wet Touch 2.0 yang mengesan kehadiran air, minyak, buih dan peluh secara pintar sekali gus memastikan setiap sentuhan kekal tepat dan responsif.
Ia juga disokong pensijilan SGS dan telah diuji untuk menahan hentaman jatuh ke permukaan granit, selain dari ketinggian sehingga tiga meter.
Sementara itu selain ketahanan binaan luaran, pengeluar kini membangunkan kaca pelindung pada skrin yang lebih tahan terhadap calar dan hentakan.
Antara perkembangan penting ialah teknologi Gorilla Glass yang diperkenalkan Corning.
Beberapa generasi selepas itu memberi tumpuan kepada peningkatan ketahanan terhadap jatuhan. Gorilla Glass Victus 2, misalnya, direka dengan penekanan terhadap prestasi apabila terjatuh pada permukaan lebih kasar seperti konkrit.
Perkembangan ini menunjukkan bagaimana perlindungan skrin berubah daripada sekadar mengurangkan calar kepada menangani risiko hentakan yang lebih serius.
Pada masa sama, ketahanan telefon pintar turut berkembang kepada perlindungan daripada air dan habuk.
Penarafan Ingress Protection atau IP menjadi salah satu ukuran penting bagi menilai tahap perlindungan sesebuah peranti.
Sistem ini menggunakan dua angka, dengan angka pertama menunjukkan perlindungan terhadap pepejal seperti habuk, manakala angka kedua merujuk kepada perlindungan terhadap air.
Sesetengah peranti turut melalui ujian berdasarkan MIL-STD-810 bagi menilai ketahanan terhadap pelbagai keadaan persekitaran.
Bagaimanapun, konsep telefon tahan lasak kini semakin berubah. Teknologi yang sebelum ini banyak dikaitkan dengan telefon rugged mula diterapkan pada telefon pintar yang lebih nipis dan sesuai digunakan sebagai peranti harian.
Ketahanan tidak lagi bergantung kepada satu komponen, sebaliknya melibatkan gabungan skrin, bingkai, struktur dalaman, penutup belakang serta perlindungan terhadap kemasukan air dan habuk.
Sebagai contoh, evolusi ini dapat dilihat pada X9e Pro yang membawa pendekatan ketahanan yang lebih menyeluruh menerusi pensijilan SGS 5-Star Drop Resistance in Harsh Conditions.
“Dalam aspek ketahanan peranti diuji dalam beberapa ujian ketahanan mencabar bagi memperlihatkan keupayaannya menahan daya hentaman tinggi.
“Ia termasuk ujian mengetuk paku ke dalam kayu, menahan hentaman bebola logam yang dilancarkan menggunakan lastik dan ditembak secara langsung menggunakan senapang angin,” ujarnya.
The post Teknologi di sebalik telefon pintar lebih lasak appeared first on Kosmo Online.


