
KUBANG PASU: Koperasi siswa perlu memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital termasuk e-dagang, e-dompet dan pembayaran kod QR bagi memastikan gerakan koperasi kekal relevan serta mampu menarik penyertaan Generasi Z.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penggunaan teknologi digital memberi peluang kepada koperasi siswa untuk membangunkan model perniagaan yang lebih dekat dengan gaya hidup mahasiswa masa kini.
Menurutnya, Generasi Z lebih cenderung melakukan urusan pembelian secara dalam talian berbanding kaedah konvensional, justeru koperasi siswa tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada operasi secara fizikal.
“Generasi ini tidak lagi banyak membeli secara fizikal. Mereka lebih selesa membeli secara dalam talian. Jadi koperasi siswa juga perlu berubah mengikut cara dan keperluan generasi mereka,” katanya selepas menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Angkasa dan Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.
Abdul Fattah berkata, koperasi siswa mempunyai kelebihan berbanding koperasi sedia ada kerana majoriti anggotanya terdiri daripada golongan muda yang sememangnya sudah terbiasa dengan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.
Katanya, keadaan itu menjadikan koperasi siswa sebagai platform paling sesuai untuk menjadi pelopor transformasi digital gerakan koperasi.
“Kalau kita mahu mengubah koperasi yang sudah lama beroperasi, cabarannya agak besar kerana mereka sudah biasa dengan cara lama.
Sebab itu koperasi siswa merupakan platform yang paling sesuai untuk jadi pelopor kepada transformasi digital gerakan koperasi,” katanya.
Beliau berkata, transformasi digital bukan sahaja memudahkan urusan jual beli, malah berpotensi memperluas pasaran koperasi siswa melangkaui kawasan kampus.
“Mahasiswa boleh membangunkan perniagaan dalam talian mengikut trend semasa. Mereka bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi boleh menjadi pencipta peluang perniagaan melalui koperasi,” katanya.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata, kerjasama strategik bersama UUM bagi memperkasakan koperasi siswa termasuk melalui usaha penjenamaan semula yang diharap dapat menarik lebih ramai golongan mahasiswa.
“Kita mahu koperasi siswa menjadi platform kepada mahasiswa untuk mempelajari keusahawanan, ilmu koperasi dan membentuk jati diri koperasi. Apabila tamat pengajian, mereka boleh menjadi pemimpin atau penggerak koperasi generasi baharu,” katanya. – UTUSAN
The post Teknologi digital tarik Generasi Z sertai koperasi siswa appeared first on Utusan Malaysia.



