
KUALA LUMPUR – Generasi Alpha bukan sahaja perlu celik teknologi, malah mempunyai pemikiran kritis, kreatif serta akhlak dan adab yang baik dalam mendepani perkembangan dunia digital.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu antara penekanan penting menerusi inisiatif Alpha Gen Talent yang diperkenalkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Beliau berkata, generasi Alpha membesar dalam persekitaran yang begitu terdedah kepada teknologi serta pelbagai kemudahan boleh diperoleh hanya di hujung jari.
Bagaimanapun, katanya, mereka perlu dididik supaya bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya memahami bagaimana sesuatu teknologi dihasilkan serta mampu menilai maklumat yang diterima.
“Dia bukan lagi sebagai pengguna, kerana nak mengguna itu senang, tetapi dia kena faham juga yang dia guna ini sebenarnya ada orang lain yang buat.
“Jadi sebab itu daripada peringkat tadika ini, bila Kemas memperkenalkan benda ini, saya rasa ia sangat penting untuk kita membina masyarakat kita pada masa akan datang yang terdedah dengan banyak teknologi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Alpha Gen Talent @ KEMAS 2026 di sini hari ini.
Johari berkata, pendedahan kepada teknologi juga perlu diseimbangkan dengan pendidikan berkaitan akhlak, adab dan kreativiti yang berlandaskan nilai kehidupan manusia.
“Mereka boleh menilai, mereka boleh mengkaji dan mereka faham soal bagaimana media sosial ini digunakan untuk kebaikan dan keburukan,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata, pihaknya akan meminta Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mempertimbangkan kadar sewa lebih rendah bagi penggunaan dewan untuk program Kemas yang melibatkan golongan berpendapatan rendah.
“Penganjuran program seperti Alpha Gen Talent yang diadakan setahun sekali tidak sepatutnya dibebankan dengan kadar sewa sehingga RM15,000.
“Jadi saya rasa ini adalah jabatan kerajaan, Kemas. Kalau 1,000 lebih ibu bapa datang, dewan macam ini tak perlulah caj sehingga RM15,000. Dia bukan buat tiap-tiap bulan, dia bukan buat tiap-tiap minggu. Sebab itu saya nak minta Kementerian atau Datuk Bandar kena mempertimbangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Generasi Alpha perlu celik teknologi, berakhlak appeared first on Kosmo Digital.






