Teknologi Ignis 3R pulih tapak pelupusan

LocalEnvironment
24 Jul 2025 • 9:16 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Mardinah Jikur

SANDAKAN: Kerajaan Negeri memulakan projek pemulihan menyeluruh di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Sibuga menerusi teknologi Ignis 3R, sebagai usaha menangani masalah tapak pelupusan lama atau dead landfill yang lama berlarutan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Joachim Gunsalam, berkata pemulihan tapak pelupusan yang telah mencapai kapasiti maksimum ini bukan sahaja menyelesaikan isu lama, malah menjadi langkah ke arah pengurusan sisa pepejal yang lebih lestari dan mesra alam.

“Jika projek ini berjaya, kita akan pertimbangkan untuk melaksanakannya di tapak pelupusan lama lain di negeri ini,” katanya selepas menyaksikan Penyerahan Tapak Pembangunan Projek Pemulihan Pusat Pelupusan Sampah Ignis 3R (Sandakan), di Batu 8, Isnin lalu.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Beliau menyifatkan masalah tapak pelupusan lama sebagai “beban warisan” yang memberi kesan besar terhadap kesihatan, keselamatan dan potensi guna tanah walaupun kurang ketara secara fizikal.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Jamili Nais; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson; Adun Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin; Adun Dilantik, Datuk Jaffari Waliam serta pegawai-pegawai majlis dan wakil NGO.

Projek ini dilaksanakan menerusi perjanjian konsesi 12 tahun + 8 tahun antara Ignis SG (Sabah) Sdn Bhd dan MPS yang dimeterai pada 22 Julai 2024. Ia menggunakan teknologi Ignis 3R yang dipatenkan secara global oleh syarikat induk, Ignis Environment Initiatives Sdn Bhd.

Joachim berkata banyak cadangan teknologi sebelum ini, termasuk insinerator dan sistem sisa-kepada-tenaga, ditolak kerana tidak bersesuaian dengan keperluan Sabah dari segi kos, logistik dan kebolehlaksanaan.

“Bukan semua teknologi canggih sesuai untuk keadaan kita. Keputusan perlu dibuat dengan jangka masa panjang dalam fikiran, bukan untuk hasil segera yang membebankan generasi akan datang,” katanya.

Beliau yakin teknologi Ignis 3R mampu merawat tapak pelupusan tanpa pembakaran terbuka, pengasingan sisa atau meninggalkan bahan tercemar kepada tanah.

“Ia mungkin bukan sistem sempurna, tetapi ini adalah penyelesaian terbaik yang ada ketika ini. Lebih membanggakan, ia diterajui oleh anak jati Sabah sendiri,” tambahnya.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk PBT, jabatan teknikal dan masyarakat untuk memberi sokongan agar projek ini menjadi model rujukan bagi negeri ini.

Sementara itu, Presiden MPS, Walter Kenson menyifatkan projek ini sebagai pencapaian penting dalam usaha menangani isu sisa pepejal yang berlarutan di Sandakan.

Menurutnya, kawasan seluas 18.85 ekar daripada keseluruhan 250 ekar tapak pelupusan telah menampung sisa bertahun-tahun dan kini berada pada tahap maksimum, dengan lebih 762,000 meter padu sisa lama tertimbus.

“Kita berdepan cabaran besar kerana timbunan sisa ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah memberi kesan terhadap kesejahteraan penduduk,” katanya.

Kerjasama dengan Ignis SG (Sabah) akhirnya membolehkan penyelesaian jangka panjang dilaksanakan melalui teknologi rehabilitasi Ignis 3R, yang direka khas untuk mengurus sisa tertimbus tanpa pembakaran atau pelepasan toksik.

Projek ini juga dijalankan sepenuhnya melalui pembiayaan swasta di bawah model Private Financing Initiative (PFI), tanpa melibatkan sebarang dana awam daripada kerajaan negeri mahupun pihak berkuasa tempatan.

Kawasan seluas 18.85 ekar yang dipulihkan ini akan menumpukan kepada rawatan sisa pepejal lama, manakala sisa baharu akan dilupuskan di tapak pelupusan baharu seluas 7.8 ekar milik MPS.

Pendekatan berasingan ini membolehkan operasi kutipan sampah harian berjalan seperti biasa, sementara loji Ignis 3R dapat memberi tumpuan kepada pemulihan sisa lama secara berkesan dan sistematik.

Teknologi sama sebelum ini telah digunakan di Terengganu sejak 1998 serta projek terkini di Johor Bahru, dan kini diperluaskan ke Sabah dengan Sandakan sebagai daerah perintis.