Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) antara tumpuan Pelan Pendidikan Malaysia 10-tahun

LocalTechnology
20 Apr 2025 • 1:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Mardinah Jikur

SANDAKAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melancarkan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia untuk 10 tahun ke depan bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, antara yang menjadi tumpuan ialah teknologi baharu iaitu kecerdasan buatan (AI).

“Kita memang tidak lari daripada melihat perkembangan teknologi semasa.

“Justeru, dalam pelan itu, kita juga akan melihat mengenai teknologi AI agar ia terus seiring dengan teknologi semasa,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya juga menyarankan pelajar bijak memilih bidang pengajian tinggi yang menjamin masa depan mereka semasa mengisi mengisi Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar dalam talian (UPU Online).

“Ini termasuk melihat kebolehpasaran seperti bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan bidang pengajian berkaitan yang mampu memberi pulangan pekerjaan kelak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus merasmikan Karnival Jom Masuk U 2025 Zon Sabah 1 di Kompleks Sukan Sandakan, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Mohd Zahari Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan) Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Zainal Amin Ayub, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengambilan Pelajar IPTA, Rudy Adrie Idris dan Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Prof Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed.

Karnival Jom Masuk U 2025 (JMU 2025) Zon 1 Sandakan merupakan siri jelajah ke sembilan zon seluruh negara bermula 19 April sehingga 18 Mei depan, bermula di dua zon iaitu Sandakan dan Kuala Nerus, Terengganu.

JMU 2025 yang dianjurkan KPT ini juga merupakan antara inisiatif utama KPT dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar seluruh negara, terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf.

Karnival ini turut menjadi platform penting untuk menyampaikan maklumat berkaitan laluan pendidikan tinggi secara langsung dan menyeluruh kepada bakal mahasiswa.

Dalam perkembangan sama, Mustapha berkata KPT tidak mahu ada pelajar dari Sabah dan seluruh negara ini tercicir melanjutkan pengajian tinggi kerana masalah kewangan keluarga.

Jelasnya, bantuan seperti wang pendahuluan bayaran yuran masuk pengajian tinggi awam khas untuk golongan B40 juga disediakan oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang boleh dimohon semasa mengisi UPU, selain bantuan zakat dan biasiswa.

Ia sekali gus membolehkan yuran pendaftaran dibayar atau ditangguhkan sementara menunggu permohonan bayaran itu masuk.

“Kita juga menggalakkan anak-anak terus belajar ke pengajian tinggi selepas SPM dan STPM kerana pelajaran mampu mengubah nasib keluarga dan diri mereka,” jelasnya.

Politeknik dan Kolej Komuniti dan yang lain juga sentiasa menyediakan peluang pendidikan yang terbaik untuk permulaan kepada mereka sebelum mereka melanjutkan ke peringkat lebih tinggi lagi.

Mengenai isu 300,000 anak-anak tidak melanjutkan pengajian kerana situasi semasa ketika pandemik Covid-19, Mustapha berkata KPT sehingga kini terus berusaha memastikan mereka melanjutkan pengajian tinggi, yang mampu menjamin masa depan mereka dengan bidang pengajian yang ditawarkan sesuai pasaran semasa.

Terdahulu, berucap pada majlis itu, Zahari berkata, Program Jom Masuk U 2025 ini bukan sahaja satu pameran pendidikan tinggi, namun ia adalah peluang untuk memilih laluan pengajian tinggi pada masa akan datang.

“Setiap institusi yang sama-sama menjayakan Program Jom Masuk U 2025 - Zon Sabah I, sama ada universiti awam dan swasta, politeknik atau kolej komuniti adalah berada di bawah satu payung dan matlamat yang sama iaitu memberi maklumat kepada anak-anak mengenai peluang pendidikan yang ada,” jelasnya.

Terdapat 20 universiti awam (UA), 384 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh Malaysia.

Bagi Zon Sabah sahaja, terdapat tiga politeknik dan sembilan kolej komuniti.

“Peluang ini harus direbut oleh semua.”