liza06/11/2026 - 17:12 Selain pemindahan teknologi, penyelidik UMT turut menyediakan latihan dan bimbingan teknikal kepada komuniti merangkumi pengurusan kualiti air, pemakanan udang, kawalan penyakit serta penjagaan udang dari peringkat benih hingga matang Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 6 Nov – Teknologi Rapid Biofloc yang dibangunkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membantu komuniti B40 di Besut dalam meningkatkan pendapatan menerusi penternakan udang marin dengan keuntungan bersih sehingga RM15,000 bagi setiap pusingan ternakan.
Projek pemindahan teknologi itu diketuai Prof. Chm. Ts. Dr. Nor Azman Kasan dari Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) dengan geran RM573,400 bagi tempoh tiga tahun.
Beliau berkata inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan pengeluaran udang serta membuka peluang ekonomi baharu kepada golongan B40, nelayan dan belia setempat menerusi kaedah penternakan yang lebih produktif, cekap dan lestari.
Teknologi Rapid Biofloc yang dipatenkan UMT (MY-188230-A) menggunakan sistem ternakan tanpa pertukaran air dengan memanfaatkan mikroorganisma berfaedah bagi mengekalkan kualiti air serta mengitar semula nutrien.
Tambahnya, pendekatan itu membantu mengurangkan penggunaan air dan kos operasi, di samping meningkatkan produktiviti ternakan.
UMT sediakan latihan dan bimbingan teknikal
Selain pemindahan teknologi, penyelidik UMT turut menyediakan latihan dan bimbingan teknikal kepada komuniti merangkumi pengurusan kualiti air, pemakanan udang, kawalan penyakit serta penjagaan udang dari peringkat benih hingga matang.
Beliau berkata komuniti juga dibantu mendapatkan bekalan benih, makanan dan peralatan ternakan bagi membolehkan operasi dijalankan dengan lebih teratur.
“Selain meningkatkan kemahiran dan produktiviti, projek itu turut membuka ruang kepada pembangunan produk nilai tambah, penjenamaan serta strategi pemasaran bagi mempelbagaikan sumber pendapatan komuniti.
“Dalam jangka panjang, UMT menyasarkan projek itu menjadi model keusahawanan akuakultur komuniti yang mampan, mampu menjana pendapatan berterusan, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber pendapatan tradisional.
“UMT turut merancang memperkukuh kerjasama dengan Persatuan Nelayan, Jabatan Perikanan dan rakan industri bagi memastikan kelangsungan projek selepas tamat tempoh geran, sekali gus membuka peluang memperluaskan model penternakan itu ke kawasan lain di Malaysia,” katanya.

Penternak raih hasil jualan RM20,000 dalam dua bulan
Antara peserta yang menikmati manfaat projek itu ialah Mohamad Affan Hanaffi yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman dalam bidang penternakan udang.
Beliau berkata, bimbingan dan pemindahan ilmu daripada UMT memberikannya pengetahuan baharu khususnya dalam aspek kawalan kualiti air serta pengurusan mineral seperti kalsium, magnesium, alkaliniti dan tahap pH.
Menurutnya, perusahaan ternakan udang hidup yang pada awalnya diusahakan sebagai sumber pendapatan alternatif kini menjadi sumber pendapatan utama keluarga, menggantikan perusahaan benih ikan siakap.
"Bagi satu pusingan ternakan melibatkan 100,000 benih udang dalam sebuah kolam, kami berjaya memperoleh hasil jualan tertinggi sebanyak RM20,000 dalam tempoh dua bulan, dengan anggaran keuntungan bersih mencecah RM15,000. Udang yang dituai dipasarkan pada harga purata RM45 sekilogram.
“Perusahaan ternakan udang hidup untuk dijadikan umpan kini mampu memberikan pulangan antara dua hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding perusahaan benih ikan siakap yang diusahakan sebelum ini,” katanya.
Pengusaha kedua raih keuntungan bersih RM8,000
Seorang lagi pengusaha, Mohd Firdaus Mamat berkata, penglibatannya dalam penternakan udang bermula menerusi bantuan dan bimbingan UMT yang membolehkannya mempelajari pelbagai ilmu baharu, termasuk penggunaan sistem Bioflok dalam pengurusan ternakan.
Menurutnya, ternakan melibatkan 70,000 benih udang membolehkannya memperoleh keuntungan bersih sekitar RM8,000 yang menjadikan aktiviti itu sebagai sumber pendapatan utama keluarganya menggantikan perusahaan ternakan ikan sebelum ini.
Katanya, peningkatan pendapatan yang diperoleh amat memberangsangkan dan beliau berharap perusahaan ternakan udang itu dapat terus berkembang sebagai pekerjaan tetap pada masa hadapan.
Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran seperti serangan memerang dan gangguan bekalan elektrik masih perlu ditangani, khususnya ketiadaan generator sebagai bekalan kuasa sokongan ketika berlaku gangguan elektrik. - DagangNews.com






