
Teksi MADANI: Pemandu Kini Pemilik Sah, Tiada Lagi Sistem Pajakan - Loke
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Kaedah pembiayaan kenderaan di bawah Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional, kini berstatus hak milik kekal pemandu dan tidak lagi terikat dengan sistem pajakan lama.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kelulusan khas yang diberikan Kementerian Kewangan itu, membolehkan pemandu teksi menjadi pemilik sah kenderaan baharu, sekali gus menamatkan amalan pajakan tradisional dalam industri berkenaan.
“Ini bukan skim lama atau cara lama yang memajakkan teksi tersebut. Pemilik atau pemandu ialah pemilik sah kepada kenderaan itu, walaupun ada pembiayaan dengan institusi kewangan. Hak milik itu kekal bersama pemandu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Menerusi program transformasi berkenaan, model sedan Proton S70 dipilih sebagai model teksi rasmi terbaharu berdasarkan standard keselamatan, tahap keselesaan penumpang serta aspek kecekapan penggunaan bahan api yang optimum.
Loke berkata identiti baharu teksi Malaysia kini tampil lebih moden, tanpa komponen penanda di atas bumbung serta menggunakan siri nombor pendaftaran khas bermula dengan huruf "GET".
Bagi aspek penjanaan pendapatan pula, beliau berkata kementeriannya dengan kerjasama pihak swasta, akan memperkenalkan pemasangan skrin iklan digital di dalam kabin teksi, sebagai punca pendapatan sampingan kepada pemandu. Loke berkata langkah itu juga akan disokong dengan integrasi sistem tempahan digital melalui platform e-panggilan.





