Telefon flagship mampu milik Realme GT2 Pro kini lebih murah

Digital
27 Feb 2023 • 3:09 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Realme GT2 Pro, telefon pintar flagship mampu milik Realme yang telah dilancarkan pada 2022 kini boleh didapati dengan harga yang lebih murah. Ia antara telefon pintar flagship termurah dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 1 semasa ia dilancarkan dengan harga RM2,999. Kini, ia lebih mampu milik apabila Realme mengumumkan potongan harga sebanyak RM200, menjadikannya pada harga RM2,799.

image is not available

Pada harga tersebut, anda akan mendapat bersama storan 256GB dan RAM 12GB. Antara ciri-ciri flagship pada telefon ini seperti dikuasakan oleh Snapdragon 8 Gen 1, skrin Super Reality Display 6.7 inci beresolusi QHD+ 2K (3260×1440) dengan kecerahan maksimum 1,400 nits serta kadar penyegaran adaptif 1-120Hz dan kadar pensampelan sentuh 1,000Hz.

image is not available

Skrin tersebut dilindungi oleh Corning Gorilla Glass Victus dengan belakangnya disarung dengan kemasan biopolymer yang nampak dan rasa seakan kertas. Untuk menghidupkan telefon, dimuatkan bateri bersaiz 5,000mAh dengan pengecasan pantas SuperDart 65W yang mengambil masa 33 minit sahaja untuk penuh. Akan tetapi tiada sokongan pengecasan wayarles.

Sistem kamera dilengkapi tiga tetapan kamera iaitu kamera utama 50MP F1.8 menggunakan sensor IMX766 OIS, kamera ultralebar 50MP F2.2 dan kamera mikro 40x zum. Untuk selfie, terdapat kamera 32MP F2.4 menggunakan sensor Sony IM615.

Lain-lain ciri termasuk sistem bunyi stereo diiktiraf Hi-Res dengan teknologi Dolby Atmos, pengimbas cap jari dalam skrin, sokongan 5G, WiFi 6 dan NFC. Ia juga didatangkan dengan sistem operasi Realme UI 3.0 berasaskan Android 12 dengan jaminan kemaskini Android sebanyak 3 kali dan keselamatan selama 4 tahun, tapi kini kurang setahun kerana telah hampir setahun sejak ia dilancarkan.

Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh tengok video reviu Realme GT2 Pro oleh Najib.

Bagi yang ingin membeli, anda boleh dapatkannya dengan dua warna iaitu putih kertas dan hitam besi di kedai fizikal rasmi realme dan pengedar rasmi realme. Untuk pembelian atas talian, boleh berbuat demikian di laman rasmi realme di Shopee dan Lazada.