
DATA telemetri yang dikongsi Gresini MotoGP menyorot tekanan luar biasa pada brek hadapan motosikal Alex Marquez sewaktu beliau berlanggar dengan Pedro Acosta pada pusingan keenam Grand Prix Belanda di Assen. Menurut pengurus pasukan, Michele Masini, hentakan ringan pada tuas brek hadapan terjadi semasa sentuhan itu dan inilah punca asap apabila roda hadapan terkunci serta kemalangan yang mengakibatkan Alex terjatuh.
Kemalangan berlaku semasa Alex dan Acosta sedang memecut keluar dari selekoh kelima, berlaku pergeseran antara mereka dan apabila tuas brek ditekan tanpa disedari, roda terkunci seketika serta Alex terus tersasar. Analisis teknikal turut menjelaskan ia bukan salah pada mana-mana pihak, tetapi kesan mekanikal akibat sentuhan fizikal kecil pada tuas brek hadapan.
Akibat kemalangan itu, Alex mengalami patah tulang tangan kiri dan dihantar ke Madrid untuk pembedahan segera. Pasukan perubatan kini sedang memantau keadaannya dan tempoh pemulihan masih belum dipastikan. Gresini menyatakan mereka tidak akan terburu-buru dan akan memberi masa secukupnya agar Alex pulih sepenuhnya sebelum kembali ke atas jentera.
Fakta menarik: Pedro Acosta yang terlibat dalam insiden sama masih berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat. Namun secara luar jangka, beliau kemudian disengat lebah di paddock dan terpaksa menerima rawatan lanjut di hospital selepas perlumbaan.
Insiden ini turut mencetuskan perbincangan dalam ‘paddock’ mengenai keperluan reka bentuk semula pelindung tuas brek hadapan, agar kemalangan seumpama ini tidak lagi berulang di masa hadapan.
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post Telemetri Dedah Punca Kecelakaan Alex Marquez appeared first on TW Media.
