Gentari, Sarawak Energy jalin kerjasama buka stesen pengecas EV pertama di Kuching
zulfadli
08/09/2023 - 11:11
KUALA LUMPUR 8 Sept - Penyedia rumusan tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn Bhd, mengembangkan rangkaian pengecas kenderaan elektrik (EV) ke Sarawak dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB).
Titik pengecasan pertama di negeri itu terletak di Dataran ICOM Kuching, lokasi gaya hidup strategik dengan akses mudah ke pusat beli-belah, restoran dan bangunan pejabat.
Stesen ini menawarkan tiga titik pengecasan, dua daripadanya dilengkapi dengan kuasa pengecas 180kW DC, yang menjadikannya stesen pengecas awam kapasiti terpantas dan terbesar di Borneo.
Boleh diakses 24/7, perkhidmatan pengecas akan diuji sepanjang bulan September. Pengguna di Kuching juga akan mendapat kemudahan untuk mengakses rangkaian 600 titik pengecasan di seluruh Malaysia melalui rangkaian EV Gentari melalui aplikasi mudah alih Setel dan JomCharge.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif Green Mobility Sdn Bhd, Shah Yang Razalli berkata, pelancaran stesen pengecas pantas EV sulung Gentari di Kuching dengan kerjasama Sarawak Energy menandakan satu langkah penting dalam memajukan infrastruktur EV di seluruh Sarawak.
"Pelancaran ini, yang pertama daripada banyak yang akan datang, menandakan kemajuan besar dalam memperkukuh rangkaian EV rantau ini. Dengan memperkenalkan keupayaan pengecas pantas 24/7, kami bukan sahaja membina keyakinan rangkaian, tetapi menjadikan peralihan kepada EV sebagai satu yang menarik," katanya dalam kenyataan media di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datu Sharbini Suhaili pula berkata, ia menandakan permulaan komitmen mereka untuk membina rangkaian pengecas EV di seluruh Sarawak, menghubungkan bandar utama bermula di Kuching dan menyeberangi Lebuhraya Pan Borneo untuk perjalanan tanpa kebimbangan.
"Sebagai penyedia tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia, kami komited untuk menghijaukan grid dan mengelektrikkan armada. Ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak dalam menyokong penyahkarbonan sektor pengangkutan," katanya.
Pada Jun 2023, Gentari menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik dengan SEB, termasuk kerjasama untuk mengembangkan penggunaan EV di Sarawak melalui pembangunan Infrastruktur Pengecasan Kenderaan Elektrik yang komprehensif dan meluas di negeri ini – satu inisiatif penting untuk mempromosikan rumusan mobiliti hijau dan menggalakkan peralihan ke arah pengangkutan rendah karbon.
Usaha untuk menggalakkan penggunaan EV di Sarawak juga akan menyokong rancangan Kerajaan Malaysia untuk mencapai 10,000 stesen pengecas EV di Malaysia menjelang 2025 di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030. - DagangNews.com



