
SANDAKAN: Kementerian Ekonomi diseru melihat semula struktur dan model Koridor Pembangunan Sabah (SDC) agar ia benar-benar membawa perubahan yang positif kepada Sabah.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong berkata, satu-satunya faktor terpenting yang mempengaruhi pembangunan di Sabah pada masa ini ialah kekurangan bekalan elektrik dan air yang stabil.
“Mungkin Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Sabah (Sedia) harus bermula dengan mencari pelaburan dalam sektor ini secara aktif.
“Inisiatif diperkenalkan oleh SDC semasa adalah sangat luas dan umum sehingga tiada tumpuan atau keutamaan dapat dilihat,” katanya.
Vivian berkata demikian semasa Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 Kementeriam Ekonomi (Peringkat Jawatankuasa), pada Rabu.
Vivian turut mempersoalkan jumlah peruntukan yang disalurkan kepada SDC.
“Sedia ialah pihak berkuasa yang memacu SDC. Peruntukan besar diperuntukkan kepada Sedia dan SDC setiap tahun untuk memenuhi keperluan pembangunan Sabah melalui SDC.
“Justeru, apakah sasaran ekonomi khusus yang telah dicapai oleh SDC setakat ini?
“Adakah Kementerian telah menjalankan sebarang semakan dan penilaian semula terhadap keberkesanan SDC?,” soal Vivian.
Selama bertahun-tahun, Sabah bergelut dengan isu ekonomi, dengan salah satu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang terendah dan kadar pengangguran tertinggi antara semua negeri di negara ini, tambah Vivian.
“Jadi, mengapakah Sabah masih belum menampakkan peningkatan ketara selepas SDC telah dilaksanakan selama 15 tahun?”
Vivian turut memberikan contoh iaitu pelan tindakan SDC 2.0 yang bertujuan untuk membawa 70,000 peluang pekerjaan dan RM95 bilion pelaburan swasta ke Sabah menjelang tahun 2030.
“Adakah ini realistik dan boleh dicapai? Atau adakah ia hanya satu lagi kertas kerja untuk kelihatan bagus bagi pembentangan PowerPoint?
“Contoh lain, salah satu inisiatif SDC iaitu Kluster Industri Kelapa Sawit 2.0 (POIC 2.0) adalah untuk menjadikan POIC di Lahad Datu dan Sandakan mampu menarik pelabur dan meningkatkan pembuatan hiliran nilai tambah.
“Bayangkan, sejak 2008 ketika SDC dilancarkan, kita bukan sahaja masih belum melihat sebarang aktiviti hiliran kelapa sawit di Sabah, POIC di Sandakan juga sehingga kini masih kekal sebidang tanah yang lapang tanpa ada pewujudan mana-mana kilang,” ulas Vivian.
Selain itu, Vivian turut meminta Kementerian Ekonomi melalui menterinya menyatakan secara terperinci mengenai skim khusus atau inisiatif yang telah dikenal pasti dan dirancang untuk Sabah bagi membolehkan ekonominya membangun selari atau sama dengan Semenanjung.
“Apakah sasaran jangka pendek dan jangka masa panjang Kementerian bagi pertumbuhan KDNK Sabah dan kadar pengangguran yang ingin dicapai menerusi program ini?
“Adakah Kementerian akan memberi sebarang insentif untuk menangani ketidakseimbangan dari segi pembangunan ekonomi antara Sabah dan Semenanjung?,” soal Vivian.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

