
KLANG – Taktik sebuah kapal tangki membawa kira-kira 70 tan minyak hitam tanpa dokumen sah terbongkar apabila ditahan di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika selatan Kampung Pulau Carey dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 4 pagi itu dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut menahan enam lelaki warga Indonesia termasuk nakhoda kapal berusia 33 hingga 58 tahun.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu hasil risikan yang dijalankan Unit Risikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia dan Selangor.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati enam lelaki terbabit memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang disyaki meragukan.
“Selain itu, lesen operasi kapal didapati telah tamat tempoh serta gagal mempamerkan permit dan dokumen berkaitan yang diwajibkan.
“Pemeriksaan turut menemukan kira-kira 70 tan minyak hitam, namun nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan atau pengangkutan muatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kapal tangki bersama nakhoda dan kesemua kru kemudiannya diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 serta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Tembelang kapal tangki sarat 70 tan minyak hitam pecah appeared first on Kosmo Digital.






