
Tempat Duduk Paling Selamat & Paling Bahaya Dalam Kereta
Perdebatan mengenai tempat duduk paling selamat dalam kereta bukan perkara baharu. Namun, pakar keselamatan automotif mengesahkan bahawa memang wujud satu tempat duduk yang paling selamat, lapor Reader’s Digest.
“Tempat duduk tengah di bahagian belakang ialah lokasi paling selamat untuk kebanyakan penumpang,” kata pakar keselamatan pemanduan, Lucas Waldenback. Data daripada Insurance Institute for Highway Safety (IIHS) turut menyokong perkara ini.
Menurut Reader’s Digest, kajian menunjukkan bahawa penumpang yang duduk di bahagian tengah belakang mempunyai risiko kecederaan serius yang lebih rendah dalam kemalangan.
Mereka didapati kira-kira 25 hingga 30 peratus kurang berisiko berbanding penumpang di bahagian sisi tempat duduk belakang atau mereka yang berada di tempat duduk hadapan.
Sementara itu, pakar keselamatan automotif, William Fletcher menerangkan bahawa tempat duduk tengah ialah kawasan yang paling jauh daripada semua zon impak seperti bahagian hadapan, sisi dan pintu kenderaan.
Ia pada asasnya dikelilingi struktur perlindungan kereta dan jika terdapat penumpang lain, mangsa turut ‘dilindungi’ oleh tubuh manusia yang memberi perlindungan tambahan.
Selain itu, tempat duduk tengah menawarkan jarak paling jauh daripada permukaan keras dan tingkap, yang sangat penting ketika daya hentaman diagihkan semasa berlakunya perlanggaran.
Adakah ia bergantung kepada jenis kenderaan?
Ya, tetapi tidaklah begitu ketara. Jelas Reader’s Digest, tempat duduk belakang tengah masih menjadi pilihan paling selamat untuk kebanyakan jenis kenderaan, tapi terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil kira, kata Waldenback.
- Sedan – Tempat duduk tengah belakang lazimnya paling selamat. Zon remuk (crumple zones) di hadapan dan sisi menyerap banyak daya hentaman, menjadikan bahagian tengah terlindung.
- SUV / Pikap – Kerusi belakang di bahagian sisi mungkin sama selamat atau sedikit lebih selamat berbanding yang lain jika dilengkapi beg udara sisi. Namun, kerusi tengah tetap konsisten sebagai pilihan paling selamat. Jelas Fletcher, ini kerana kenderaan tinggi mempunyai struktur sisi yang lebih kukuh.
- MPV / Minivan – Baris kedua ialah kawasan paling selamat, terutama jika mempunyai kerusi tengah. Baris ketiga pula dipercayai kurang selamat kerana dekat dengan bampar belakang.
Namun begitu, tidak semua tempat duduk tengah direka sama. Sesetengah kenderaan mempunyai tempat duduk tengah boleh lipat atau tidak dilengkapi tali pinggang keselamatan yang betul.
“Sentiasa periksa susunan tali pinggang keselamatan dan kewujudan beg udara sebelum memilih tempat duduk,” nasihat Fletcher. Tambahnya, tanpa tali pinggang keselamatan tiga titik, kelebihan keselamatan tempat duduk tengah akan berkurangan.
Adakah ia bergantung kepada jenis kemalangan?
Sudah tentu, namun tempat duduk tengah masih mempunyai kelebihan dalam kebanyakan situasi.
- Perlanggaran hadapan – Tempat duduk belakang jauh lebih selamat daripada tempat duduk hadapan kerana zon remuk hadapan menyerap sebahagian besar tenaga hentaman.
- Perlanggaran sisi – Tempat duduk bucu belakang lebih terdedah, terutama di bahagian yang terkena hentaman. Inilah sebab tempat duduk tengah kembali menjadi lokasi terbaik kerana ia berada pada jarak yang sama dari kedua-dua sisi.
- Perlanggaran belakang – Tempat duduk tengah secara konsisten menunjukkan kadar kecederaan serius paling rendah apabila digunakan dengan penyandar keselamatan yang betul.
- Kenderaan terbalik – Kedudukan tengah mengurangkan risiko terhimpit pada pintu atau tiang bumbung.
Apa yang menjadikan tempat duduk ini begitu selamat?
“Kuncinya ialah jarak,” jelas Waldenback. Tempat duduk tengah belakang berada paling jauh daripada zon remuk, memberikan lebih banyak ‘kusyen keselamatan’ ketika impak berlaku.
Tempat duduk tengah dilindungi dari kiri dan kanan, dan tidak berdekatan dengan dashboard atau pintu, kawasan utama hentaman lazimnya berlaku.
“Gabungan sistem penahan, jarak daripada kawasan impak dan perlindungan struktur memberikan tempat duduk ini peluang statistik lebih tinggi untuk mengurangkan kecederaan,” jelas Fletcher.
Tambahan pula, kerusi tengah yang lengkap dengan tali pinggang tiga titik dan tirai udara sisi akan memberikan perlindungan maksimum.
Tempat duduk paling selamat untuk kanak-kanak
Sama seperti dewasa, kerusi tengah belakang juga merupakan kedudukan paling selamat untuk kanak-kanak kerana jauh dari zon impak dan beg udara hadapan.
Namun, juruteknik keselamatan penumpang kanak-kanak, Lia Tuso, memberi peringatan bahawa tempat paling selamat ialah tempat duduk yang membolehkan kerusi kanak-kanak dipasang dengan betul pada setiap masa.
Jika kerusi tengah tiada sistem “latch”, tali pinggang tidak sesuai atau ruang terlalu sempit, maka kerusi belakang kanan adalah pilihan terbaik seterusnya untuk kanak-kanak.
Kedudukan ini lebih mudah untuk memasang dan mengeluarkan kanak-kanak serta memastikan mereka berada di sisi jauh daripada laluan trafik.
Tambahan pula, Akademi Pediatrik Amerika mengesyorkan kanak-kanak kekal dalam kerusi menghadap belakang sehingga sekurang-kurangnya 2 tahun.
Tempat duduk paling bahaya dalam kereta
Tempat duduk penumpang hadapan adalah yang paling berisiko, terutamanya untuk kanak-kanak.
Kedudukannya berhampiran dashboard dan cermin hadapan, meletakkan penumpang terus dalam zon hentaman semasa kemalangan hadapan, iaitu jenis kemalangan yang paling biasa dan serius.
“Beg udara, walaupun menyelamatkan nyawa untuk dewasa, direka untuk tubuh dewasa dan boleh menyebabkan kecederaan serius atau maut kepada kanak-kanak kecil,” jelas Waldenback.
Bahkan, orang dewasa pun berisiko lebih tinggi jika duduk di tempat ini tanpa memakai tali pinggang dengan betul.
Ringkasnya, kedua-dua tempat duduk bahagian hadapan jauh lebih berisiko berbanding tempat duduk belakang. Duduk di belakang lebih selamat daripada di hadapan.
Faktor lain yang menentukan tahap keselamatan
Walaupun tempat duduk memainkan peranan penting, pakar menegaskan tingkah laku pemanduan jauh lebih penting dalam menentukan peluang untuk terselamat dalam kemalangan.
1. Penggunaan tali pinggang keledar – Memakai tali pinggang mengurangkan risiko maut sekitar 45 peratus. Ia mesti dipakai dengan betul, bukan di bawah lengan atau di belakang badan.
2. Tabiat pemanduan – Memandu laju, mengantuk, terganggu (telefon, anak menangis) atau mabuk meningkatkan risiko berlipat kali ganda.
3. Penyelenggaraan kenderaan – Masalah kenderaan seperti tayar botak, brek haus dan lampu rosak akan menjejaskan keupayaan kenderaan mengurangkan impak kemalangan.
4. Postur duduk – Pelaras kepala perlu selari dengan bahagian belakang kepala. Selain itu, perlu diingat bahawa tali pinggang keselamatan dan beg udara direka untuk berfungsi dengan optimum apabila tubuh berada pada posisi yang betul. Bersandar terlalu jauh, meletakkan kaki di atas dashboard, duduk membongkok atau condong ke hadapan boleh mengurangkan keberkesanannya.
BACA: 5 Benda Di Rumah Anda Yang Suka ‘Memanggil’ Ular
BACA: Jangan Sesekali Tanya Atau Beritahu ChatGPT 5 Perkara Ini
BACA: 6 Makanan Yang Buat Kita Nampak Tua Lebih Cepat
Sumber: Reader’s Digest
The post Tempat Duduk Paling Selamat & Paling Bahaya Dalam Kereta appeared first on Siakap Keli.


