SAGA Serba Baharu Kini Tiba, Harga Bermula RM38,990

LocalCars
28 Nov 2025 • 10:27 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

SAGA Serba Baharu Kini Tiba, Harga Bermula RM38,990

Kuala Lumpur, 27 November 2025 – PROTON, pengeluar kereta nasional Malaysia, hari ini secara rasmi  melancarkan Saga Serba Baharu, menandakan evolusi paling signifikan bagi nama model automotif paling  ikonik di Malaysia sejak diperkenalkan pada tahun 1985. Membawa tema “Empat Dekad Gemilang, Masa  Depan Tanpa Batasan”, pelancaran ini bukan sekadar pengenalan model baharu, tetapi meraikan sebuah  simbol nasional yang melambangkan kemajuan industri dan kebanggaan negara yang berterusan. 

Majlis pelancaran bersejarah ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia Senator Tengku Datuk  Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia, di  Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, dengan kehadiran para  pemimpin negara, rakan industri serta ribuan tetamu jemputan. 

Dibina untuk Era Mobiliti Malaysia Seterusnya 

Dibangunkan berasaskan Advanced Modular Architecture (AMA) baharu PROTON, Saga Serba Baharu  menggunakan platform masa depan yang mematuhi piawaian global dengan Hak Harta Intelek (Intellectual  Property Rights, IPR) yang dimiliki dan dibangunkan sepenuhnya oleh PROTON, sekali gus menandakan  satu langkah besar ke hadapan dalam keupayaan automotif Malaysia. Pemilikan penuh ke atas IPR platform  AMA mengukuhkan keupayaan kejuruteraan PROTON yang semakin meningkat dan membuka peluang  baharu untuk kerjasama merentas ekosistem Kumpulan Geely, berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab  kejuruteraan serantau bagi pembangunan model masa hadapan. 

Ia menjadi bukti keupayaan kejuruteraan PROTON yang semakin berdikari, di samping menonjolkan  kekuatan kerjasama antara inovasi global Geely dan kepakaran tempatan PROTON. 

Sejak bekerjasama dengan Geely pada tahun 2017, PROTON telah berkembang menjadi jenama dinamik  yang mempunyai rangkaian global, dengan model seperti X70, X50, S70 dan X90 yang menetapkan  penanda aras baharu dalam reka bentuk serta prestasi. Saga Serba Baharu meneruskan evolusi ini menggabungkan teknologi bertaraf dunia, rekaan abadi dan semangat kebanggaan nasional, sekali gus  mengukuhkan kedudukan PROTON sebagai jenama “Dibuat untuk Rakyat Malaysia, Sedia untuk Dunia”. 

Kemajuan ini diperkukuh oleh program Operational Excellence PROTON (POE) serta rangkaian 164 outlet  3S dan 4S terbesar di Malaysia, yang memastikan setiap pemilik menikmati pengalaman jualan dan selepas  jualan yang cemerlang di seluruh negara. 

“Saga Serba Baharu menandakan detik penting dalam evolusi kami,” kata Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai  Eksekutif PROTON. “Ia lebih daripada sekadar sebuah kereta – ia adalah penzahiran kebanggaan negara,  kejuruteraan cemerlang dan usaha berterusan kami untuk menawarkan kenderaan pintar berkualiti tinggi,  Dibuat untuk Rakyat Malaysia, Kejuruteraan Bertaraf Dunia. Saga Serba Baharu ini menggambarkan  semangat warga PROTON dan masa depan tanpa batasan keupayaan automotif Malaysia.” 

Susulan pelancaran rasminya, keterujaan terhadap Saga Serba Baharu kekal tinggi dengan lebih 20,000  tempahan telah diterima. Sambutan awal yang memberangsangkan ini mencerminkan keyakinan dan  kepercayaan pelanggan terhadap rekaan yang diperbaharui, peningkatan prestasi dan ciri keterhubungan  pintar, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai ikon sebenar Malaysia. 

Sebuah I.K.O.N. Di Atas Jalan – Menetapkan Standard Baharu dalam Prestasi, Keselamatan,  Kepintaran dan Gaya 

Di bawah slogan “Intelligence That Thrills”, Saga Serba Baharu menggabungkan Prestasi Mengagumkan, Keselamatan Komprehensif, Kepintaran Optimum dan Gaya Generasi Seterusnya (I.K.O.N.), selari dengan  aspirasi PROTON untuk mengangkat kejuruteraan automotif Malaysia ke pengiktirafan global. 

I – Impressive Performance (Prestasi Mengagumkan) 

Dikuasakan oleh enjin 1.5 i-GT baharu PROTON yang dipadankan dengan transmisi CVT (Continuously  Variable Transmission), Saga Serba Baharu menawarkan pemanduan yang lancar dan bertenaga dengan  kecekapan bahan api yang mengagumkan iaitu 4.9L/100 km (Kitar Pemanduan Malaysia, MDC). Sistem  Stereng Kuasa Elektrik (EPS) baharu meningkatkan lagi ketepatan kawalan, manakala Ride and Handling  PROTON yang tersendiri memastikan pemanduan yang seimbang, stabil dan selesa dalam pelbagai  keadaan jalan raya. 

C – Comprehensive Safety (Keselamatan Komprehensif) 

Saga Serba Baharu dilengkapi dengan rangkaian ciri keselamatan menyeluruh termasuk enam beg udara  SRS, sembilan fungsi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), serta Proton Reinforced Safety Structure  (RESS) dengan komponen Hot Press Forming (HPF) untuk perlindungan penumpang yang lebih baik dan  integriti struktur yang lebih kukuh semasa pelanggaran.

O – Optimised Intelligence (Kepintaran Optimum) 

Paparan Skrin Dwi-Bersepadu 16 inci baharu menyokong sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan  Android Auto, disertai ciri kemudahan pintar seperti lampu utama automatik, fungsi Follow-Me-Home dan  pelarasan ketinggian lampu hadapan, bagi memastikan kemudahan penggunaan optimum dalam  pemanduan harian. 

N – Next-Gen Style (Gaya Generasi Seterusnya) 

Evolusi rekaan Saga menampilkan gril hadapan baharu berinspirasikan Sulaman Songket — simbol seni  kraftangan Malaysia — dipadankan dengan Lampu Hadapan LED Projektor Penuh, palang Lampu Belakang  LED penuh, serta rekaan dalaman yang diperbaharui, menzahirkan gaya moden yang kemas sambil  mengekalkan identiti nasional. 

Harga Rasmi dan Manfaat Pemilikan Rasmi Diumumkan 

Saga Serba-Baharu ditawarkan dalam tiga varian – Standard, Executive dan Premium – serta lima warna  menarik: Marine Blue, Space Grey, Ruby Red, Armour Silver dan Snow White; masing-masing direka untuk  memenuhi gaya hidup pemanduan yang pelbagai masa kini. 

Setiap pembelian Saga Serba Baharu didatangkan dengan jaminan 5 tahun atau 150,000km perbatuan  (yang mana terdahulu) dan tiga kali servis upah percuma di bawah program Pro-Warranty*, memberikan  ketenangan fikiran jangka panjang kepada pemilik sejak hari pertama. 

Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemilikan, PROTON memperkenalkan Pakej Pelancaran komprehensif.  Pelanggan boleh memilih sama ada Pro-Trade-in*, dengan sokongan overtrade sehingga RM1,500 untuk  tukar beli kenderaan sedia ada, atau Pro-Xchange* yang menawarkan sokongan RM2,000 untuk pelupusan  kenderaan tukar beli yang tidak lagi layak digunakan di jalan raya. Bagi pelanggan yang memerlukan  pembiayaan, Pro-Finance* menawarkan kadar pembiayaan menarik bermula dari 2.6%. Semua tawaran ini  sah untuk pelanggan yang mendaftar kenderaan mereka sehingga 31 Disember 2025, menjadikan Saga  Serba Baharu lebih mudah dimiliki. 

Pelanggan yang memilih PROTON Insurance Programme, Pro-Shield*, akan menikmati perlindungan yang  ditambah baik termasuk Perlindungan Kerosakan Khas (Special Perils), perlindungan banjir yang  dipertingkatkan sehingga RM2,000, serta perlindungan kemalangan peribadi untuk penumpang sehingga  RM15,000 seorang sehingga 4 orang penumpang. Manfaat ini, yang sah untuk pelanggan yang mendaftar  kenderaan sehingga 31 Disember 2025, adalah tambahan kepada kelebihan sedia ada seperti pengecualian  betterment sehingga 10 tahun, perlindungan nilai dipersetujui, perlindungan untuk semua pemandu, perlindungan gantian kunci, perlindungan kemalangan peribadi untuk pemegang polisi serta bantuan tepi  jalan 24 jam. 

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan pengalaman pemilikan, PROTON juga  mempertingkatkan sokongan selepas jualan dan standard servis. Untuk Saga Serba Baharu, perkhidmatan  Fast Service* disediakan bagi servis asas berkala apabila pelanggan membuat janji temu awal dan memilih  untuk menunggu di premis sementara kenderaan diservis. 

Selain itu, PROTON memperkenalkan 1-Day Service Delivery*, di mana kenderaan akan disiapkan dalam  tempoh 24 jam sama ada pelanggan hadir secara walk-in atau melalui tempahan awal. 

Bagi situasi di mana kerja baik pulih mengambil masa lebih daripada tiga hari bekerja*, outlet servis PROTON  akan menyediakan kereta gantian serta satu kali servis percuma (termasuk alat ganti servis dan upah), bagi  meminimumkan kesulitan dan membuktikan komitmen PROTON untuk menyokong pemilik sepanjang  tempoh pemilikan kenderaan mereka. 

Harga di atas jalan (OTR) untuk Saga Serba Baharu adalah seperti berikut: 

Variant Peninsular Malaysia East Malaysia
1.5 Standard RM38,990 RM40,990
1.5 Executive RM44,990 RM46,990
1.5 Premium RM49,990 RM51,990

Harga selepas rebat untuk Saga Serba Baharu adalah seperti berikut: 

Varian Peninsular Malaysia Malaysia Timur
1.5 Standard RM37,990 RM39,990
1.5 Executive RM43,990 RM45,990
1.5 Premium RM48,990 RM50,990

Untuk maklumat lanjut atau untuk membuat tempahan Saga Serba Baharu, kunjungi mana-mana outlet  PROTON yang sah di seluruh negara. Jangan lupa untuk mengikuti Proton Cars Official di semua platform  media sosial utama untuk mendapatkan perkembangan terkini, promosi dan aktiviti menarik berkaitan Saga  Serba Baharu.

The post SAGA Serba Baharu Kini Tiba, Harga Bermula RM38,990 appeared first on Siakap Keli.