Tempoh berada di luar parti beri ruang muhasabah diri - KJ

LocalPolitics
18 Apr 2026 • 3:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tempoh berada di luar parti beri ruang muhasabah diri - KJ
Khairy Jamaluddin menyifatkan penerimaan semula ke pangkuan UMNO itu disambut dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran selain menyedari amanah besar yang hadir bersama keputusan tersebut.

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tempoh beliau berada di luar parti memberinya ruang untuk muhasabah dan memperbaiki kelemahan diri.

Beliau turut menyifatkan penerimaan semula ke pangkuan UMNO itu disambut dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran selain menyedari amanah besar yang hadir bersama keputusan tersebut.

"Saya kembali bukan dengan sebarang tuntutan, tetapi dengan tekad untuk berkhidmat dan menyumbang sebaik mungkin kepada kekuatan UMNO.

"Saya bersedia untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan dan akar umbi demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu bersetuju menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.

Selain Khairy, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Syed Hamid Albar termasuk 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat UMNO bahagian dan cawangan seluruh negara diterima kembali ke pangkuan parti itu.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berharap keputusan tersebut menjadi titik permulaan baharu untuk melangkah ke hadapan dengan lebih bersatu, matang dan berwibawa.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Presiden UMNO atas kebijaksanaan serta pertimbangan yang diberikan dalam menerima kembali permohonan saya sebagai ahli parti.

"Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang telah membuat keputusan ini dengan penuh hikmah dan keinsafan terhadap masa depan perjuangan parti," katanya.