Tempoh bertenang antara AS-Iran tamat

WorldPolitics
30 Jul 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tempoh bertenang antara AS-Iran tamat

WASHINGTON: Konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali bergolak selepas tiga hari reda apabila Teheran melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dalam cubaan serangan mengejut terhadap pasukan Washington di Asia Barat.

Markas Pusat AS (CENTCOM) mendakwa serangan yang berlaku pada 5.45 petang (waktu tempatan) kelmarin berjaya dipatahkan selepas semua peluru berpandu dipintas. Iran pula memaklumkan serangan itu menyasarkan sebuah pangkalan tentera AS di Jordan.

Sementara itu, tentera AS dan pasukan Arab Saudi menyerang kumpulan bersenjata Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) yang disokong Iran di Iraq sebagai tindak balas terhadap serangan lebih 30 serangan dron yang diarahkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Sekurang-kurangnya 20 anggota PMF dilaporkan terbunuh dalam serangan itu yang menyasarkan kedudukan mereka di wilayah Baghdad, Wasit, Nineveh, Basra, Kirkuk, Karbala dan Diyala.

PMF ialah gabungan kumpulan separa tentera dan pelbagai fraksi yang ditubuhkan pada 2014 bagi memerangi kumpulan jihad, dan kini diserapkan ke dalam angkatan tentera Iraq. 

Dalam kenyataannya pada Rabu, PMF menyifatkan serangan AS-Arab Saudi itu sebagai peningkatan berbahaya, pencabulan kedaulatan Iraq dan serangan terhadap institusi keselamatan rasmi negara.

Serangan itu berlaku selepas Riyadh memaklumkan tenteranya berjaya memintas dron yang menyasarkan kemudahan minyak di timur Arab Saudi, sambil menuduh kumpulan disokong Iran di Iraq sebagai dalang.

Perkembangan terbaharu itu menamatkan tempoh ‘bertenang’ selama tiga hari dalam konflik antara AS dan Iran yang sebelum ini dilihat membuka ruang kepada usaha menghidupkan semula rundingan.

Ketegangan yang kembali memuncak itu berlaku sehari selepas Presiden AS, Donald Trump menyifatkan rundingan dengan Iran sebagai ‘sangat mesra’.

Ketika itu, kedua-dua pihak tidak melancarkan sebarang serangan selama tiga hari, selepas operasi ketenteraan AS selama 13 malam berturut-turut ke atas Iran memusnahkan terowong dan jambatan di selatan negara itu, serta membunuh puluhan nyawa.

Kawalan ke atas Selat Hormuz terus menjadi antara isu utama yang menghalang kemajuan rundingan, walaupun Teheran menafikan sebarang rundingan sedang berlangsung.

Washington dan Teheran merupakan dua sekutu utama Iraq, namun permusuhan antara kedua-duanya sejak sekian lama menjadikan negara itu medan pertembungan proksi, sekali gus menyukarkan kerajaan Iraq mengekalkan keseimbangan hubungan dengan kedua-dua pihak.

Di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat daripada Washington, Perdana Menteri baharu Iraq, Ali al-Zaidi yang memegang jawatan tahun ini dengan sokongan AS berikrar memastikan kumpulan bersenjata pro-Iran menyerahkan senjata mereka.

Bagaimanapun, usaha itu berdepan tentangan daripada beberapa fraksi berpengaruh.

Sementara itu, Iran menolak cadangan Oman supaya kedua-dua negara berkongsi tanggungjawab mengawasi Selat Hormuz, sebaliknya mengemukakan cadangan balas ketika rundingan mengenai bentuk perjanjian muktamad masih diteruskan.

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi dalam siaran televisyen kerajaan pada Selasa berkata, cadangan Oman tidak menangani sepenuhnya kebimbangan Teheran mengenai kawalan ke atas selat strategik itu.

Beliau berkata, cadangan balas Iran akan memberikan Teheran kuasa kawalan yang lebih besar terhadap laluan perairan berkenaan.

Menurut Gharibabadi, Oman mencadangkan mekanisme serantau yang membolehkan kedua-dua negara mengawal Selat Hormuz secara sama rata, dengan pembahagian 50-50.

Di bawah cadangan itu, Iran akan mengawal laluan perkapalan di bahagian selat yang terletak di perairannya, manakala Oman mengawal laluan di sepanjang pantainya.

Cadangan itu turut mengesyorkan kutipan ‘bayaran sukarela’ daripada kapal yang melalui selat berkenaan, dengan hasilnya dikongsi antara kedua-dua negara.

Cadangan Oman dipercayai dimodelkan berdasarkan perjanjian yang mengawal Selat Melaka, yang menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.

Menerusi pengaturan itu, Indonesia, Malaysia dan Singapura menggalakkan kapal yang melalui Selat Melaka menyumbang secara sukarela bagi membiayai keselamatan pelayaran, perlindungan alam sekitar serta operasi mencari dan menyelamat.

Cadangan Oman itu juga dilihat mendapat sokongan beberapa negara serantau, malah Kementerian Luar Qatar memaklumkan menteri-menteri luar Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengadakan mesyuarat pada Selasa bagi membincangkan isu keselamatan serantau.

Bagaimanapun, Gharibabadi berkata, Iran akhirnya menolak cadangan berkenaan atas faktor kepentingan dan keselamatan negara.-AGENSI

The post Tempoh bertenang antara AS-Iran tamat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved