
ALOR SETAR – Tengkorak gajah Asia atau elephas maximus berusia ratusan tahun yang ditemukan di pesisir Pantai Leman, Kuala Kedah pada tahun lalu menjadi koleksi terbaharu Muzium Negeri Kedah.
Spesimen seberat 50 kilogram (kg) dan masih mempunyai struktur gigi pada tengkorak itu diserahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kepada Lembaga Muzium Negeri Kedah pada Isnin lalu.
Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri berkata, pihaknya akan menjalankan kajian dan penyelidikan lanjut bagi menentukan usia sebenar serta mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai spesimen itu.
“Buat permulaan, spesimen ini disimpan di bawah Lembaga Muzium Negeri Kedah dan kita akan membuat pemerhatian sebelum menjalankan penyelidikan serta kajian lebih terperinci.
“Anggaran awal usia spesimen gajah Asia ini adalah kira-kira 200 tahun lalu, namun perkara itu perlu disahkan melalui penyelidikan yang akan dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, tengkorak gajah Asia itu berpotensi menjadi antara tarikan baharu Muzium Negeri Kedah setelah kajian dan penyelidikan selesai dijalankan.
Tambahnya, penemuan itu bukan sahaja menambah koleksi pameran muzium, malah berpotensi memberikan gambaran mengenai kewujudan gajah di Kedah suatu ketika dahulu serta kaitannya dengan sejarah negeri. – KOSMO! ONLINE
The post Tengkorak gajah Asia usia ratusan tahun jadi koleksi muzium appeared first on Kosmo Digital.

