Tengkorak gajah Asia jadi koleksi baharu Muzium Kedah

LocalEnvironment
20 Aug 2026 • 3:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tengkorak gajah Asia jadi koleksi baharu Muzium Kedah

ALOR SETAR: Penemuan tengkorak gajah Asia di pesisir Pantai Leman, Kuala Kedah bakal menambah nilai koleksi warisan Muzium Negeri Kedah selepas spesimen berkenaan diserahkan kepada Lembaga Muzium Negeri Kedah pada 17 Ogos lalu.

Spesimen yang ditemui seorang penduduk kampung di sekitar Pantai Leman itu dipercayai berusia ratusan tahun dan masih mempunyai struktur gigi pada bahagian tengkorak.

Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri berkata, pihaknya akan menjalankan kajian dan penyelidikan lanjut bagi menentukan usia sebenar dan jantina gajah itu serta mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai spesimen berkenaan.

“Buat permulaan, spesimen ini disimpan di bawah Lembaga Muzium Negeri Kedah dan kami akan membuat pemerhatian terlebih dahulu sebelum menjalankan penyelidikan serta kajian lebih terperinci.

“Anggaran awal usia spesimen gajah Asia ini adalah kira-kira 200 tahun lalu, namun perkara itu perlu disahkan melalui penyelidikan yang akan dijalankan,” katanya di sini, hari ini.

Suhaidi berkata, penemuan tersebut turut membuka kemungkinan terdapat spesimen sama di kawasan berkenaan, namun lokasi sebenar dan jumlahnya masih belum dapat dikenal pasti.

“Penemuan spesimen ini adalah di dalam laut, di pesisir Pantai Leman. Kemungkinan untuk ada lagi spesimen lain itu wujud, cuma kita belum dapat pastikan di mana kedudukannya,” katanya.

Menurutnya, tengkorak gajah Asia berkenaan berpotensi menjadi antara tarikan baharu Muzium Negeri Kedah selepas selesai menjalani kajian dan penyelidikan.

Katanya, penemuan itu bukan sahaja menambah koleksi pameran muzium, malah berpotensi memberikan gambaran mengenai kewujudan gajah di Kedah pada suatu ketika dahulu serta kaitannya dengan sejarah negeri.

“Kami juga boleh melihat gajah ini hidup pada zaman bila dan mengaitkannya dengan peristiwa yang berlaku pada zaman itu. Spesimen ini juga merupakan koleksi pertama tengkorak gajah Asia yang dimiliki Muzium Negeri Kedah.

“Kami sebelum ini mempunyai koleksi berkaitan gajah termasuk gading selain koleksi haiwan lain seperti harimau, badak, ular dan tulang ikan paus,” katanya.

Sementara itu, pihak Muzium Negeri Kedah menggesa penduduk yang menemukan spesimen atau artifak dipercayai mempunyai nilai sejarah supaya melaporkannya kepada pihak muzium atau Jabatan Warisan.

End//

SUHAIDI Shukri (kanan) bersama kakitangan Muzium Negeri Kedah melihat tengkorak gajah Asia yang dipercayai berusia ratusan tahun di Muzium Negeri Kedah, Alor Setar, hari ini.  – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

The post Tengkorak gajah Asia jadi koleksi baharu Muzium Kedah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved