Tengku Amir Shah berkenan saksikan perlawanan akhir Piala Raja Muda Selangor 2025

LocalFootball
6 Dec 2025 • 9:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tengku Amir Shah berkenan bersalaman dengan pemain-pemain SK Serdang pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor menentang SK Ulu Yam Bharu di padang Persatuan Bola Sepak Selangor, Seksyen 5, hari ini. - Foto: Bernama
image is not available
Pemain-pemain SK Serdang menjulang piala selepas menewaskan SK Ulu Yam Bharu 2-0 pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor di padang Persatuan Bola Sepak Selangor, Seksyen 5 hari ini. - Foto: Bernama

RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor (Piala Raja Muda Selangor) 2025 di Padang Persatuan Bola Sepak Selangor, Seksyen 5, di sini.

Ketibaan baginda disambut Pengerusi Piala Raja Muda Selangor, Datuk Emran Kadir, diiringi wakil-wakil rakan strategik kejohanan.

Perlawanan akhir bagi acara kategori di bawah 12 tahun itu, menyaksikan persaingan antara Sekolah Kebangsaan (SK) Serdang dan SK Ulu Yam Bharu.

SK Serdang muncul juara menerusi jaringan 2-0, hasil ledakan pemain Muhammad Arif Mohd Radzuan.

Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

**media[3363704]**

Juara membawa pulang cek cura RM5,000 beserta piala iringan, manakala naib juara RM4,000, tajaan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad.

Muhammad Arif diumumkan pemain terbaik dan penjaring terbanyak, iaitu 11 jaringan sekali gus membawa pulang dua trofi serentak.

Kejohanan pada tahun ini menghimpunkan 32 pasukan sekolah rendah dari seluruh negeri yang dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Hadiah RM3,000 untuk pemenang tempat ketiga, manakala RM2,000 menanti pasukan keempat, dan masing-masing turut membawa pulang trofi serta pingat. - Bernama