Tengku Permaisuri Selangor rasmi Taman Anggerik Shah Alam, tarikan baharu pendidikan flora

LocalEnvironment
4 Dec 2025 • 3:17 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 4 DIS: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyempurnakan perasmian Taman Anggerik Shah Alam di Seksyen 14, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut isteri Dato' Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad dan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Mohd Fauzi dalam ucapan perasmian berkata pembangunan taman itu oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selaras usaha menjadikan bandar raya lebih lestari, seimbang dan berdaya huni.

image is not available
Majlis perasmian Taman Anggerik Shah Alam pada 4 Disember 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau menjelaskan taman seluas lima ekar itu dirancang sejak tahun 2000 bagi memperkasa pembangunan induk Taman Tasik Shah Alam dan menempatkan pelbagai koleksi pokok anggerik dari dalam dan luar negara.

“Selain menjadi pusat pameran anggerik, taman ini juga bakal menjadi tarikan pelancongan baharu dan pusat pendidikan bunga anggerik kepada pengunjung,” kata beliau.

Mohd Fauzi menambah taman itu akan menjadi pemangkin pembangunan hijau, pusat pendidikan komuniti serta platform bagi pencinta flora dan fauna.

image is not available
Datuk Bandar Shah Alam Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim mempersembahkan bunga orkid Papilionanda kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin sempena majlis perasmian Taman Anggerik Shah Alam pada 4 Disember 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Pembinaan ini diharap menggalakkan lebih ramai warga Shah Alam memelihara dan menyumbang kepada usaha penghijauan bandar raya,” katanya.

Taman Anggerik Shah Alam dibuka kepada orang awam secara percuma setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.