Tengku Hassanal bakal santuni rakyat menerusi Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang

27 Feb 2024 • 8:58 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah (gambar) bakal menyantuni rakyat menerusi Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024, pada 3 hingga 6 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata Tengku Hassanal telah berkenan untuk menyertai ekspedisi itu yang dijadual bermula dari Pekan Riverfront hingga Tanjung Gahai, Lipis melibatkan jarak kira-kira 400 kilometer.

“Menerusi program ini baginda akan merentasi daerah Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis melalui sungai sebelum menyantuni rakyat dengan beberapa pengisian program antaranya sesi perkhemahan di Tapak Rumah Warisan Chenor, Maran dan Kampung Gintong, Jerantut.

“Selain itu, turut diadakan pelbagai acara sukan dan kenduri rakyat serta penyampaian bantuan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ekspedisi berkenaan melibatkan 18 buah bot dan 150 peserta terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Tourism Pahang.

Sementara itu, Fadzli memaklumkan kira-kira 50,000 peminat sukan permotoran dijangka membanjiri Serambi Teruntum di sini, sempena penganjuran RXZ Fighter pada 1 dan 2 Mac ini.

Beliau berkata program julung kali diadakan itu akan diserikan dengan pelbagai pengisian acara antaranya solat subuh berjemaah, aktiviti perniagaan selain program pendidikan oleh PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Sambutan yang diterima setakat ini menggalakkan kerana jualan kemeja-T acara berkenaan telah terjual sebanyak 10,000 helai. Selain itu, acara ini secara tidak langsung dapat menjana ekonomi setempat,” katanya. -Bernama