Tengku Hassanal iringi anggota rombongan cedera dapatkan rawatan

LocalHealth & Fitness
14 May 2026 • 11:07 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tengku Hassanal iringi anggota rombongan cedera dapatkan rawatan
Baginda mengetuai rombongan pendakian yang disertai seramai 56 orang terdiri daripada pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) serta pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Foto Bernama

KUNDASANG - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengiringi seorang anggota rombongan baginda yang mengalami kecederaan pada kaki untuk mendapatkan rawatan lanjut di sini pada Rabu.

Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah berkata, anggota rombongan itu dibawa menaiki helikopter dari Panalaban atas Gunung Kinabalu ke Klinik Kesihatan Kundasang pada 3 petang.

Beliau berkata, mengikut jadual asal, Tengku Hassanal dijadualkan turun ke Pondok Timpohon dari Panalaban selepas selesai menawan puncak Gunung Kinabalu pada 9.30 pagi.

"Bagaimanapun, keadaan seorang daripada anggota rombongan yang mengalami kecederaan memerlukan rawatan segera sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Kundasang,” katanya kepada Bernama.

Amir Syaffiq berkata, Tengku Hassanal pada awalnya bersemangat untuk turun ke Pondok Timpohon, namun baginda memilih untuk bersama pasukannya dan turut menaiki ambulans ke Klinik Kesihatan Kundasang serta menunggu sehingga rawatan selesai.

Beliau berkata, anggota rombongan yang cedera itu telah menerima rawatan daripada pegawai perubatan di klinik berkenaan dan berada dalam keadaan baik. 

Beliau berkata, Tengku Hassanal turut menzahirkan penghargaan dan memuji perkhidmatan terbaik yang diberikan oleh pegawai perubatan dan petugas di Klinik Kesihatan Kundasang.

Terdahulu, Tengku Hassanal yang mengetuai rombongan sempena Ekspedisi Mahkota Borneo berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada 8.45 pagi Rabu, selepas tiba di Panalaban pada 3.45 petang Selasa.

Baginda dijadual berangkat pulang pada 2 petang hari ini, selepas menamatkan ekspedisi selama tiga hari berakhir semalam. - Bernama

 

 

 

 

View Original Article