KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa aktiviti ketenteraan di negeri ini dilaksanakan dalam keadaan terkawal, bertanggungjawab dan selamat kepada alam sekitar.
Menerusi satu kenyataan, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti latihan ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal dilaksanakan terutama di kawasan kepulauan di Pahang akan menggugat ekosistem alam sekitar, flora dan faunanya.
Bagaimanapun titah itu bukan bermakna baginda menolak aktiviti ketenteraan bagi meningkatkan kemahiran dan pengalaman para pegawai dan anggota tentera.
Sebaliknya, baginda mahu aktiviti ketenteraan tersebut dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal serta bertanggungjawab, selamat dan harmoni dengan alam sekitar serta semua pihak di negeri ini.
Melalui kenyataan itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan agar pihak ATM dan semua pihak mesti mematuhi serta menjunjung titah berkenaan.
Baginda menegaskan tidak akan teragak-agak meminta kerajaan negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran prosedur yang berlaku.




