KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada Rabu.
Kejayaan pendakian baginda dan pasukannya sempena Ekspedisi Mahkota Borneo itu dikongsi Kesultanan Pahang melalui hantaran di Facebooknya.
Melalui hantaran itu, Tengku Mahkota Pahang berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu jam 8.30 pagi.
"Baginda dan pasukan memulakan pendakian dari checkpoint Panalaban jam 2.30 pagi sebelum tiba dengan selamat di puncak gunung tertinggi di Malaysia itu dalam suasana cuaca yang baik dan penuh semangat.
**media[3519526]**
"Kejayaan bersejarah tersebut mencerminkan semangat, ketahanan fizikal, disiplin serta kecekalan tinggi Tuanku dalam menjayakan misi ekspedisi berkenaan," ujarnya.
Ekspedisi Mahkota Borneo turut dilihat sebagai simbol keberanian, perpaduan dan semangat cintakan alam semula jadi, di samping menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk terus mencabar kemampuan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
Pendakian tersebut juga menjadi manifestasi komitmen Tuanku dalam mendekati rakyat serta menyantuni komuniti setempat sepanjang program ekspedisi berlangsung.
Tengku Mahkota Pahang memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu pada Selasa sempena Ekspedisi Mahkota Borneo
**media[3519527]**
Baginda mengetuai rombongan pendakian disertai 56 peserta terdiri pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) serta pengiring rapat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pendakian dijadualkan selama dua hari satu malam dan pendaki perlu bermalam di Panalaban sebelum menawan puncak gunung tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara itu dengan ketinggian 4,095.2 meter dari aras laut.
