
Oleh Muhamad Rey Hazriell
HULU LANGAT, 24 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin hari ini berkenan melawat Penjara Wanita Kajang, di sini.
Keberangkatan tiba Baginda kira-kira jam 10 pagi tadi disambut Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhammad.

Dalam lawatan berkenaan, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menyampaikan sumbangan kelengkapan bayi, susu dan lampin pakai buang untuk kegunaan kanak-kanak taska di penjara berkenaan.
Selain itu, Baginda turut berkenan melawat bengkel kemahiran termasuk jahitan, sulaman, pembuatan pastri dan kek serta penyediaan makanan sejuk beku.
Baginda kemudiannya mencemar duli mempamerkan bakat Baginda dengan menyertai aktiviti mencanting batik ketika melawat ke bengkel batik penjara.

Sebelum berangkat pulang, Baginda meluangkan masa menyaksikan persembahan peragaan pakaian batik daripada prospek Penjara Wanita Kajang.
Lawatan khas Tengku Permaisuri Selangor ke Penjara Wanita Kajang merupakan anjuran Pekawanis bersama Persatuan Keluarga Polis (PERKEP).

Penganjurannya bertujuan memberi pendedahan mengenai sistem keadilan jenayah yang melibatkan prospek wanita, pengurusan penjara serta program pemulihan yang dijalankan.
Selain itu, program berkenaan juga dirangka khusus untuk memberikan sokongan moral kepada penghuni penjara.

The post Tengku Permaisuri dekati penghuni Penjara Wanita Kajang, beri sokongan moral appeared first on Selangorkini.

