Tengku Zafrul akhiri khidmat sebagai menteri MITI 2 Disember ini

LocalPolitics
13 Nov 2025 • 2:05 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menamatkan tempoh perkhidmatan beliau berkuat kuasa 2 Disember 2025.

“Hari terakhir saya di MITI adalah pada 2 Disember 2025. Oleh itu, memandangkan saya bukan lagi anggota Dewan Negara (untuk terus menyandang jawatan itu), sudah semestinya saya tidak boleh meneruskan khidmat sebagai menteri,” katanya ketika Taklimat Media Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025 di Putrajaya, hari ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata hari terakhirnya di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga serentak dengan penamatan perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul menzahirkan hasratnya untuk membantu pengganti beliau dalam tempoh peralihan sebagai menteri baharu.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk terus memainkan peranan sebagai penasihat, beliau berkata tiada sebarang perbincangan mengenai perkara itu setakat ini.

“Tiada sebarang perbincangan mengenainya lagi...namun jika timbul keperluan itu, saya sudah membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan telah menyatakan hasrat untuk terus membantu.

 “Oleh itu, saya masih menunggu keputusan perdana menteri. Saya juga tidak rasa perdana menteri membuat sebarang keputusan mengenai peranan saya selepas ini,” katanya.

Menyentuh mengenai penggantinya, Tengku Zafrul enggan mengulas lanjut dan secara berseloroh turut bertanyakan soalan sama kepada media yang hadir.

"Siapa Menteri MITI baharu, saya tidak tahu. Mungkin anda media lebih tahu," katanya.

Tengku Zafrul yang berkhidmat atas kapasiti sebagai seorang senator selama dua penggal sejak 2020 yang juga tempoh maksimum dibenarkan, akan menamatkan tempoh enam tahun di Dewan Negara pada 2 Disember 2025. - 13 November, 2025

The post Tengku Zafrul akhiri khidmat sebagai menteri MITI 2 Disember ini appeared first on Scoop.