Tengku Zafrul mampu bantu BAM realisasi impian emas Olimpik - Jahaberdeen

11 May 2025 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jahaberdeen dan Tengku Zafrul.

PELANTIKAN Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilihat mampu merealisasikan impian pingat emas pada Sukan Olimpik, kata Timbalan Presiden 2 BAM, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Beliau berkata, meskipun legasi BAM yang ditinggalkan bekas presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berada pada tahap yang tinggi, Tengku Zafrul mampu membawa perubahan yang positif kepada persatuan berkenaan.

"Kalau kita lihat pada presiden lama Tan Sri Norza Zakaria, beliau telah meletakkan BAM pada satu tahap tertentu, tetapi saya yakin bahawa Tengku Zafrul mula menunjukkan minat.

"Beliau minta supaya diberi 100 hari untuk mempelajari dan melihat apakah perkara yang perlu dilakukan di BAM. Jadi, saya percaya pengurusan di BAM dapat bekerjasama untuk mencapai impian Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Tertutup Kuala Lumpur - Jejak Juara di sini hari ini.

Jahaberdeen turut menyifatkan Tengku Zafrul sebagai seorang pemimpin yang jujur dan berpegang kepada janjinya.

"Tengku Zafrul orang yang jujur dan beliau tidak memberi satu janji palsu. Jadi, beliau telah berterus terang memberitahu bahawa beliau perlu 100 hari untuk memahami BAM dan berbincang dengan pengurusan tertinggi,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dipilih secara sebulat suara sebagai presiden ke-13 BAM selepas tidak dicabar mana-mana pesaing pada sesi pemilihan dijalankan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Bekas pemangku presiden BAM Datuk V. Subramaniam dilantik semula sebagai timbalan presiden 1, manakala Jahaberdeen kekal menyandang jawatan timbalan presiden 2.

Pada Mac lepas, Subramaniam mengumumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden baharu.

Pada awal tahun lepas, Tengku Zafrul hampir dilantik menjadi presiden BAM bagi menggantikan Mohamad Norza, yang pada mulanya bercadang untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta Mohamad Norza mempertimbangkan semula keputusan itu dan kekal memegang jawatan berkenaan sehingga Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Selepas temasya itu berakhir, BAM memutuskan untuk melantik Subramaniam sebagai pemangku presiden sehingga AGM kali ini. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved