KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa beliau tidak mengetahui kaedah Pejabat Perdana Menteri (PMO) menilai dan memilih 54 syarikat yang dicadangkan bagi pelaksanaan projek di bawah Program Jana Wibawa.
Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-11 berkata demikian dalam perbicaraan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tengku Zafrul berkata, semua nama syarikat terbabit bukan datang daripada beliau mahupun Kementerian Kewangan.
Sebaliknya, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berusia 53 tahun itu berkata, ia disenaraikan sendiri oleh Muhyiddin menerusi surat bertarikh 13 November 2020.
Menurutnya, surat berkenaan adalah cadangan pelantikan 54 kontraktor pelaksana bagi 54 projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) secara rundingan terus.
“Pada hari sama Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan memorandum berkaitan Pelan Tindakan Perolehan Kerajaan iaitu 13 November 2020.
“Saya menerima surat daripada Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri ketika itu berhubung cadangan pelantikan 54 kontraktor bagi 54 projek di bawah program berkenaan.
“Terdapat lampiran yang menyenaraikan tajuk perolehan, nilai perolehan dan cadangan kontraktor bagi setiap projek,” katanya ketika membaca pernyataan saksi.
Berdasarkan bilangan tersebut, beliau mengesahkan, syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd tersenarai dalam senarai cadangan 54 kontraktor terbabit bagi projek pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan bernilai RM100 juta.
Sedangkan katanya, KCJ Engineering tidak pernah menghantar surat permohonan kepadanya atau Kementerian Kewangan bagi mendapatkan projek berkenaan.
Dalam prosiding lalu, mahkamah diberitahu, terdapat penyata bank CIMB Bank milik ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff, 51telah didaftarkan di KCJ Engineering Sdn Bhd.
Bekas Bendahari UMNO Negeri Selangor itu berkata, sekiranya surat bertarikh 13 November 2020 tidak diterima, beliau tidak akan mengambil tindakan susulan berhubung cadangan pelantikan kontraktor berkenaan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.
Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu Azman dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung Selasa.






